Friday, May 9, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kursus bantu fahami lebih dalam mengenai Pengakap

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Pasukan Latihan Pengakap Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama Pasukan Latihan Pengakap Kebangsaan telah mengadakan Kursus Penerangan Am kepada ahli-ahli pasukan Pengakap Kelana 1102 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) secara maya melalui pautan Google Meet.

    Seramai 30 orang peserta kursus yang terdiri daripada ahli Pengakap Kelana dari Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA telah menyertai dan berjaya menamatkan Kursus Kepimpinan Manikayu peringkat kedua yang dijalankan secara modul selama dua hari pada 27 dan 28 Mac secara maya di mana ia adalah bagi memberi pendedahan asas mengenai pergerakan pengakap.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis penutup kursus berkenaan ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali. Turut hadir Pemimpin Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA, Dr Mohd Alif bin Haji Sismat; Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Supri bin Pengiran Haji Hashim; Pesuruhjaya Pengakap Daerah Temburong, Awang Jurkarnain bin Haji Husin serta beberapa orang pemimpin pengakap.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPNBD, di sini, peserta kursus telah didedahkan kepada tujuh sesi kursus iaitu ia antara lain memberikan penerangan mengenai misi dan visi pengakap, tujuan pengakap dan kaedah berpengakap serta sejarah pembangunan pengakap.

    Menurut Ketua Kursus dan Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Temburong, Awang Ronnie bin Siabu, yang juga setiausaha pasukan latihan pengakap kebangsaan, kursus yang dijalankan bertujuan dapat memberi penerangan khusus mengenai perkembangan semasa pergerakan pengakap kepada ahli-ahli Pengakap Kelana yang baharu dan bakal menjadi pemimpin pengakap pada masa hadapan untuk lebih aktif dan berpengetahuan dalam menjalankan tugas mereka.

    Haji Awang Badar bersama para peserta hadir semasa kursus berkenaan yang diadakan secara maya. – Gambar serahan Pengakap Kelana UNISSA

    Sebelum peserta dapat mengikuti kursus tersebut, mereka terlebih dahulu mestilah sudah dan lulus mengikuti kursus peringkat pertama iaitu Kursus Latihan Permulaan.

    Selain itu juga, peserta diberi penerangan khusus kepada pergerakan pengakap kebangsaan, dunia, strukturnya, bahagian-bahagian dalam pergerakan pengakap dan skim latihan pemimpin pengakap dan skim anugerah lencana kemajuan dan kecekapan serta isu-isu kemasyarakatan.

    Jurulatih-jurulatih pengakap dan pembantu jurulatih pengakap yang turut membantu menjayakan kursus berkenaan ialah Jurulatih Pengakap, Awang Zainudin bin Haji Ishak dan Awang Junaidi bin Haji Hussin.

    Turut membantu, Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Bahagian Latihan dan Bahagian Pengakap Tunas, Awang Ritchie bin Siabu; Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara Bahagian Pengakap Perempuan, Anita Goh Ai Lian; Awang Ronnie; dan Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Belait, Bahagian Latihan, Awang Mohd Sharin bin Haji Suhaili, sebelum ia ditutup dengan sesi soal jawab, penilaian kursus dan penerangan bagi menjawab soalan dari Pelajaran Satu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda