Tuesday, April 29, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kursus dedah kepentingan keselamatan kebakaran

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Dengan mematuhi segala arahan dan peraturan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi pengawalan penularan COVID-19, termasuk memakai penutup mulut dan hidung serta menjaga penjarakan diri, seramai 20 orang pegawai dan kakitangan dari Insurans Islam TAIB telah mengikuti Kursus Marsyal Bomba di Balai Bomba Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, kursus selama tiga hari, dari 11 hingga 13 Januari berkenaan dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi A, JBP.

    Kenyataan menyatakan lagi bahawa penyampaian sijil bagi peserta kursus telah disempurnakan oleh Pegawai Pemerintah Operasi A, Pemangku Penguasa Kanan Pengiran Haji Asmali bin Pengiran Haji Ahmad.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Pengarah Urusan, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Anak-anak Syarikat, Hajah Nornaimah binti Haji Zainip.

    Para peserta kursus diberikan pendedahan kepada pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal mengenai sebab dan punca berlakunya kebakaran, mengetahui akan tindakan apabila menghadapi insiden kebakaran di tempat kerja dengan membuat latihan pengosongan bangunan secara sistematik, tatacara penggunaan alat-alat pemadam api dan selimut api dengan cara yang betul serta tatacara untuk menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam bangunan bila berlakunya kebakaran. Para peserta juga mengadakan lawatan ke Unit Operasi Wanita bagi mengetahui fungsi bomba wanita serta mengenali perkakas-perkakas dan peralatan bomba.

    JBP dalam kenyataan itu juga menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program keselamatan seperti Taklimat Keselamatan Umum Life Saver 995 bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.

    Pemangku Penguasa Kanan Pengiran Haji Asmali menyampaikan sijil kepada para peserta Kursus Marsyal Bomba – Gambar serahan JBP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda