Thursday, January 16, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kuskop laksana 43 Tamu Desa di Sabah, Sarawak dijangka siap tahun depan 

    KOTA KINABALU, 2 DIS – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) kini sedang melaksanakan 43 Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) Fasa 2, iaitu masing-masing 18 tapak di Sabah dan 25 di Sarawak.

    Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata projek naik taraf atau bina baharu tamu itu dengan peruntukan RM10 juta, dijangka siap sepenuhnya Mac tahun depan bagi merangsang aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.

    Beliau berkata perkara itu dapat direalisasi dengan menjadikan projek Tamu Desa itu sebagai pusat pertumbuhan ekonomi setempat, yang memberi manfaat kepada peniaga dan penduduk dan menjadi platform yang memberi impak positif jangka panjang kepada peniaga kecil.

    “Tamu Desa menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan meningkatkan aktiviti perniagaan, mengurangkan kemiskinan di luar bandar serta memperkukuh sektor keusahawanan dan perdagangan tempatan, sekali gus dapat meningkatkan sektor pelancongan negara,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam temu bual khas bersama Bernama serta akhbar tempatan Borneo Post dan Utusan Borneo di sini hari ini.

    Ewon berkata Tamu Desa menjadi pusat jualan produk tempatan seperti hasil pertanian dan kraftangan, yang dapat membantu meningkatkan pengeluaran dan perdagangan produk-produk tempatan.

    “Ia juga memberi peluang untuk produk tempatan dipasarkan ke pasaran yang lebih luas, meningkatkan pendapatan negara melalui penjualan produk domestik yang berkualiti,” katanya.

    Ewon berkata pembentangan Belanjawan MADANI 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober lepas, menyaksikan sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi membina gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di semua PBT seluruh negara, menaik taraf kemudahan perniagaan termasuk ruang niaga kepada penjaja kecil Tamu Desa di Sabah dan Sarawak. – Bernama

    Penjual di premis Tamu Desa Kampung Inobong Penampang yang baru siap menunjukkan jeruk bambangan yang dijualnya ketika tinjauan kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda