Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kuwait gantung lima, termasuk banduan pengeboman masjid 2015

    KUWAIT CITY, 27 JULAI – Kuwait menjalankan hukuman mati ke atas lima orang hari ini, termasuk seorang lelaki yang disabitkan kerana terlibat dalam serangan bom berani mati kumpulan Islamic State pada 2015 yang mengorbankan 26 orang, kata pendakwa raya.

    Pelaksanaan hukuman mati berganda di wilayah emiriah teluk ini jarang berlaku berbanding negara jiran, Arab Saudi – adalah yang pertama sejak tujuh orang dihukum mati pada November tahun lalu yang mengakhiri moratorium selama lima tahun.

    Dalam satu kenyataan, pendakwa raya berkata ia mengawasi ‘pelaksanaan hukuman mati di Penjara Pusat Kuwait’ terhadap lima orang, kebanyakannya disabitkan atas kesalahan membunuh.

    Mereka termasuk Abdulrahman Sabah Saud – tertuduh utama dalam serangan 2015 yang melanda sebuah masjid Syiah di ibu negara semasa solat Jumaat. Ia merupakan serangan paling berdarah dalam sejarah Kuwait.

    Saud, seorang Arab tanpa kerakyatan, disabitkan atas kesalahan memandu pengebom ke masjid itu dan membawa tali pinggang peledak yang digunakannya dari kawasan berdekatan sempadan Arab Saudi.

    Pada perbicaraan awalnya, Saud mengaku bersalah atas sebahagian besar pertuduhan tetapi, di peringkat rayuan dan mahkamah agung, dia menafikan kesemuanya.

    Lelaki lain yang dihukum mati termasuk seorang warga Kuwait, seorang rakyat Mesir dan seorang anggota minoriti Bidoon yang tidak mempunyai kerakyatan Kuwait; semuanya telah disabitkan atas kesalahan membunuh.

    Seorang warga Sri Lanka dihukum mati atas tuduhan dadah.

    Pihak pendakwa raya berkata kelima-lima mereka telah dihukum gantung. – AFP

    Foto fail bertarikh 27 Jun 2015 menunjukkan beribu-ribu penganut Sunni dan Syiah dari seluruh negara mengambil bahagian dalam perarakan pengebumian beramai-ramai untuk 27 orang yang terbunuh dalam pengeboman berani mati, di Masjidil Haram di Kuwait City, Kuwait. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda