Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Satu insiden kebakaran berlaku melibatkan sebuah kereta di stesen minyak yang terletak di Kampung Jerudong, baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, dua buah jentera dari Balai Bomba Jerudong yang melibatkan 10 anggota diketuai oleh DSO Serudin bin Haji Osman segera menuju ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan.
Setibanya anggota bomba di tempat berkenaan, api kebakaran di bahagian enjin kereta tersebut telah berjaya dipadamkan olehpekerja stesen minyak dengan menggunakan empat biji alat pemadam api jenis debu kering seberat empat kilogram.
Dalam memastikan kawasan tersebut selamat, anggota bomba telah menyediakan satu biji alat pemadam api jenis debu kering seberat empat kilogram dan membuka kepala bateri menggunakan crowbar.
Punca serta kerugian dalam kejadian tersebut masih dalam siasatan dan tiada korban jiwa dilaporkan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam pada itu menyarankan kepada orang ramai untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan kebakaran kereta selain memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik di kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah.
Ia bertujuan bagi memastikan pendawaian yang dibuat itu adalah dengan cara yang betul dan tidak mendatangkan bahaya kebakaran. Pemilik kenderaan juga dinasihatkan agar memiliki alat pemadam api jenis debu kering di dalam kereta.
Manakala bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.
Jika berlaku sebarang kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.
