Tangkap layar perbualan personaliti media sosial Cik B dengan ibunya yang juga usahawan sensasi Datuk Seri Vida menerusi WhatsApp mencuri perhatian ramai.
Mana tidaknya, Cik B atau Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 19, dengan selamba meminta wang daripada Vida untuk membeli-belah.
Menurut mStar, Cik B yang kini berada di Sepanyol memberitahu walaupun memiliki pendapatan sendiri namun dia lebih suka meminta wang daripada ibunya jika ingin membeli sesuatu.
“Walaupun sudah ada wang sendiri, tetapi lagi seronok membeli-belah menggunakan duit mama (panggilan Vida),” tulisnya menerusi perkongsian di cerita Instagram miliknya kelmarin.
Dalam perbualan tersebut, Vida turut bertanya kepada Cik B mengenai jumlah yang diinginkan sebelum remaja itu menyatakan dia tidak kisah menerima berapa sahaja jumlah diberikan ibunya.
Menerusi hantaran berbeza, Cik B turut memuat naik bukti transaksi diterima daripada Vida namun menutup jumlah diterima.
Sementara itu, dia meluahkan rasa kagum dan syukur kerana dikurniakan seorang ibu yang hebat dan pemurah.
Cik B memberitahu walaupun ibunya mengharungi pelbagai cabaran hidup sebagai ibu tunggal namun Vida tidak pernah gagal memberikan yang terbaik untuk anak-anaknya.
“Mama yang hebat dan pemurah. Saya sangat beruntung memiliki ibu seperti mama.
“Walaupun ibu tunggal, banyak ujian. Sentiasa mahukan yang terbaik untuk Cik B,” ujarnya.
Untuk rekod, Cik B kini sedang melanjutkan pengajian dalam tiga jurusan yang berbeza iaitu bahasa Sepanyol, perniagaan dan kulinari di sebuah kolej di Barcelona, Sepanyol. – Agensi