Thursday, May 2, 2024
24 C
Brunei

    -

    Lagu Ketipak Ketipung Raya raih jutaan strim, tontonan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Dengan lebih sejuta strim di Spotify dan lebih 3 juta tontonan di YouTube untuk klip videonya sejak pelancarannya tepat pada masanya untuk Hari Raya Aidilfitri tahun ini, duet terbaharu antara Aziz Harun dan artis Malaysia, Aisha Retno telah menjadi salah satu lagu tema paling viral untuk hari raya pada 2024.

    Lagu Ketipak Ketipung Raya, ciptaan dan tulisan Aziz Harun bersama Aisha Retno dengan dibantu oleh Romeo dan Glowrush sebagai penerbit telah dilancarkan pada 22 Mac lalu dan boleh dimuat turun di iTunes dan didengar di semua platform muzik seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

    Aziz Harun menjelaskan, lagu itu muncul secara spontan tahun lepas.

    “Masa itu saya teringin ada lagu raya sendiri supaya tidak ketinggalan dan menjadi kandungan di platform media sosial TikTok.

    “Kebetulan pada masa itu, saya berkolaborasi dengan Aisha Retno untuk lagu Jarak, jadi saya bertanya kepada Aisha jika dia sudi membantu menulis lagu ini dengan saya, dan kami segera menyusun apa yang boleh dan memperkenalkannya di media sosial.

    Aziz Harun tidak menyangka lagunya mendapat sambutan yang begitu baik daripada pengikutnya di media sosial, terutama di TikTok. – GAMBAR SERAHAN AZIZ HARUN

    “Tidak sangka lagu itu mendapat sambutan yang begitu baik daripada pengikut kami di media sosial, terutama di TikTok, jadi kami memutuskan untuk merakam dan menghasilkannya dengan betul bagi tayangan tahun ini sebelum hari raya,” jelas Aziz Harun dalam kenyataan media.

    Ditanya mengenai maksud di sebalik lagu tersebut, kedua-dua artis berkenaan menjelaskan mesej yang disampaikan sebenarnya cukup mudah iaitu mengenai persiapan menyambut Aidilfitri.

    Aisha Retno berkata, “Ia menggambarkan tema biasa yang sering dilihat dalam banyak lagu hari raya lain. Ia menggambarkan kesibukan persiapan pagi hari raya sambil bertanya tentang perkara biasa seperti sama ada pakaian hari raya telah dibeli, sama ada jamuan hari raya sudah siap, dan sebagainya. Ia juga mencerminkan suasana meriah hari raya tanpa mengira status dan generasi, sebab itu saya menyelitkan unsur tradisional irama joget ke dalam lagu ini untuk menjadikannya lebih meriah dan menarik.”

    Kedua-duanya berkata, mudah untuk mereka berkolaborasi kerana keserasian sudah wujud sejak duet mereka dalam lagu Jarak, walaupun kali ini lagu duet bertemakan Aidilfitri.

    Lagu itu turut mempunyai video muzik yang turut menampilkan kakitangan Faithful Music, syarikat rakaman di bawah pengurusan Aziz Harun.

    Mengulas sambutan hari raya di Brunei tahun ini, Aziz Harun berkata, “Saya tidak sedar betapa saya merindui rumah sehinggalah saya pulang ke Brunei dan pergi ke majlis perjumpaan keluarga di rumah datuk dan nenek saya beberapa hari sebelum raya. Ia benar-benar menunjukkan kepada saya betapa banyak yang telah berubah menjadi lebih baik Alhamdulillah.

    “Kebanyakan sepupu saya kini mempunyai anak yang menjadikan segala-galanya kelihatan lebih ‘huru-hara’ dalam cara yang baik, menyedari ibu bapa kita semakin tua yang membuatkan saya sedih tetapi saya sangat gembira kerana dapat meluangkan masa bersama mereka,” kongsinya.

    Menurutnya, melihat orang ramai menggunakan lagu Ketipak Ketipung Raya untuk siaran media sosial mereka adalah satu perkara yang sangat menyanjung dan mengejutkan memandangkan mereka tidak terlalu mengharapkan lagu itu.

    “Saya sangat teruja Ketipak Ketipung Raya dapat memainkan peranan dalam menceriakan raya semua orang tahun ini,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ tolak keahlian pakatan teknologi pertahanan AUKUS

    WELLINGTON, 1 MEI - Menteri Luar New Zealand hari ini menolak penyertaan pakatan teknologi pertahanan penting dengan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS),...