Thursday, May 2, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Tabung jualan air asah-asahan dipecah, wang dicuri

    Oleh Lyna Muhammad –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Dalam kalangan umat Islam khasnya di negara ini, membawa sebotol air asah-asahan yang pada lazimnya dituangkan ke atas kubur, telah menjadi suatu tradisi ketika mengunjungi tanah perkuburan tempat ahli keluarga mereka dikebumikan.

    Pada zaman dahulu, air tersebut biasanya disediakan di rumah sebelum dibawa ke tanah perkuburan. Namun, dalam beberapa tahun terakhir, beberapa penjual telah memudahkan pengunjung dengan menyediakan air asah-asahan yang dijual secara langsung di tanah perkuburan Islam di negara ini dengan harga hanya $1 sebotol.

    Sepanjang bulan puasa yang menyaksikan peningkatan ketara jumlah pengunjung, beberapa penjual ada yang menunggu orang ramai untuk membeli di tempat jualan mereka, namun ada juga yang lebih memilih bagi mempraktikkan cara penjualan yang tidak lazim iaitu dengan membiarkan kotak wang di tempat jualan mereka, memungkinkan pembeli untuk membayar tanpa pengawasan langsung, sebagai bentuk kepercayaan terhadap kejujuran pembeli.

    Namun, fenomena ketidakjujuran mula mencemari tradisi tersebut, di mana seorang penjual di tanah perkuburan Kampung Telisai mengungkapkan kekecewaannya ketika mendapati kotak yang biasa digunakannya untuk mengumpul pembayaran air berkenaan telah dipecahkan dan wang di dalamnya dicuri. Kejadian itu mengejutkan beliau ketika melakukan pemeriksaan rutin pada bulan puasa.

    Walaupun beliau telah membangkitkan isu itu kepada pihak berkuasa yang berkaitan namun difahamkan tidak banyak yang boleh dilakukan kerana tiada CCTV di sekitar kawasan itu. Beliau berharap agar insiden seperti itu tidak berulang dan kepercayaan yang diberikan kepada pengunjung dapat dipulihkan.

    Tabung daripada tong gas kosong yang dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. – GAMBAR OLEH LYNA MUHAMMAD
    Antara kotak wang yang telah dirosakkan di kawasan jualan tersebut. – GAMBAR OLEH LYNA MUHAMMAD
    Air asah-asahan yang dijual tanpa pengawasan di salah satu tempat tanah perkuburan Islam di negara ini. – GAMBAR OLEH LYNA MUHAMMAD

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...