Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Lahir warga global penyayang

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyempurnakan Perasmian Persidangan Isu-isu Global Borneo Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB BGIC) ke-18 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, kelmarin.

    Pada majlis berkenaan, Pengetua Eksekutif ISB, Tony Macfadyen dalam sembah alu-aluannya menyatakan bahawa pihaknya amat gembira kerana dapat menghoskan ISB BGIC untuk mempromosikan kerjasama dan kolaborasi bermakna pelbagai sektor dalam komuniti setempat, meningkatkan pengalaman pendidikan bagi manfaat penduduk dan negara dalam pemulihan pasca pandemik.

    Beliau menyembahkan lagi bahawa persidangan yang dipimpin oleh pelajar untuk pelajar itu amat menghargai sokongan rakan kongsi persidangan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang menyokong penyertaan sekolah-sekolah dan pelajar-pelajar di Negara Brunei Darussalam serta usaha berterusan untuk membangunkan kepimpinan belia dan meningkatkan pengalaman pembelajaran aktif di luar bilik darjah bagi manfaat belia negara.

    Sementara itu, setiausaha-setiausaha agung ISB, Austin Greaves dan Isabella Trewern dalam sembah alu-aluan mereka menyembahkan penghargaan kepada semua rakan kongsi dan penaja-penaja yang memberikan sokongan dalam menjayakan ISB BGIC yang menyaksikan penyertaan pelajar-pelajar daripada 21 buah sekolah.

    Mereka turut menyatakan bahawa sokongan mereka itu membantu dalam usaha untuk melahirkan warga global penyayang yang akan menyumbang kepada pendidikan dan kepimpinan belia dalam usaha negara bagi merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama penaja-penaja dan pembentang ucaptama pada majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
    Austin Greaves dan Isabella Trewern ketika menyampaikan sembah alu-aluan pada majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, baru-baru ini.

    Persidangan itu turut dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Haji Nazmi bin Haji Mohamad. Juga hadir ialah perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai sekolah dan wakil-wakil pelajar.

    Majlis diikuti dengan pembentangan ucaptama mengenai tema persidangan iaitu ‘Kesihatan Baik dan Kesejahteraan’ yang disampaikan oleh dua orang pembentang undangan iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC Sdn Bhd, Dr Peter Tay dan Pengasas The Impian Project, Dayang Lailatul Zubaidah Hussain.

    Pada majlis berkenaan, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan untuk mengurniakan sabda dan menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil-wakil daripada 21 buah sekolah yang menyertai persidangan serta sijil penghargaan kepada penaja-penaja acara berkenaan.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Yang Teramat Mulia dijunjung melawat petak pameran, antaranya Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan Brunei LNG Sdn Bhd yang menyertai Pameran Minggu Tindakan Iklim Brunei, Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022.

    Persidangan berkenaan ditaja oleh BSP, Brunei LNG, Gleneagles JPMC Sdn Bhd, Dynamik Technologies Sdn Bhd, Bank Islam Brunei Darussalam dan Butra Heidelberg Cement Sdn Bhd dengan sokongan daripada TLT Enterprise, Interhouse Company, Air Cat Logistics Sdn Bhd, D’Sunlit Sdn Bhd, Brunei Press Sdn Bhd dan Aewon Garment & Embroidery.
    Acara itu diadakan bersempena dengan Brunei MYCE 2022.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...