LOS ANGELES, 2 FEB – Pasukan Los Angeles Lakers yang kehilangan bintang-bintang besar seperti LeBron James dan Anthony Davis kelmarin menewaskan pasukan pendahulu NBA, Boston Celtics sementara Tyrese Maxey menjaringkan 51 mata untuk memimpin Philadelphia mengatasi Utah.
Austin Reaves menjaringkan 32 mata tertinggi musim ini untuk memimpin Lakers dalam kemenangan 114-105 mereka, berkata selepas itu bahawa beliau dan seluruh Lakers telah mengambil serius arahan tegas James selepas kekalahan Selasa lalu kepada Atlanta bahawa rakan sepasukannya ‘perlu melakukan tugas masing-masing’.
“Ia mesej yang hebat,” kata Reaves kepada penyiar TNT. “Dan datang daripada pemain terhebat sepanjang masa, pada pendapat saya, itulah yang sepatutnya kami lakukan.”
Di tempat lain, pemain pertahanan 76ers, Maxey dan Jalen Brunson dari Knicks meraikan pilihan All-Star pertama karier mereka dengan persembahan yang cemerlang.
Maxey menjaringkan 51 mata tertinggi dalam kariernya untuk memimpin Sixers meraih kemenangan 127-124 ke atas Jazz di Utah, satu penamat yang menggembirakan pada hari yang menyaksikan 76ers menunggu dengan berdebar berita tentang berapa lama mereka akan beraksi tanpa bintang yang cedera, Joel Embiid.
Brunson menjaringkan 40 mata ketika Knicks mencatatkan kemenangan kesembilan berturut-turut, 109-105 ke atas Indiana Pacers. Maxey, yang terlepas tiga perlawanan kerana kecederaan buku lali, kembali untuk membantu 76ers mengatasi ketiadaan Pemain Paling Berharga NBA, Embiid.
76ers kelmarin berkata Embiid telah didiagnosis dengan kecederaan meniskus lateral dan akan diketepikan sekurang-kurangnya sehingga hujung minggu ini sementara doktor merancang pelan rawatan. – AFP