SINGAPURA, 11 DIS – Laluan imigresen menggunakan kod QR akan dilaksanakan secara berperingkat di semua lorong automatik dan Lorong Bantuan Khas (SAL) di balai bas di pusat pemeriksaan darat Singapura, bermula dengan Pusat Pemeriksaan Tuas pada 16 Disember.
Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) berkata pelaksanaan penuh di kedua-dua pusat pemeriksaan darat (Tuas dan Woodlands) disasarkan untuk selesai menjelang pertengahan Januari 2025.
“Dengan pelaksanaan penuh laluan imigresen kod QR di balai bas, ICA akan melengkapkan inisiatif laluan imigresen tanpa pasport bagi semua jenis pengangkutan di pusat pemeriksaan darat,” menurut ICA dalam kenyataan hari ini.
ICA mula memperkenalkan laluan kod QR untuk pengguna kereta pada 19 Mac, diikuti oleh pemandu bas pada 15 April, penunggang motosikal serta pembonceng mereka pada 15 Ogos dan pemandu kenderaan kargo bersama pembantu mereka pada 30 Ogos.
Sehingga 1 Disember, hampir 28 juta pengguna menggunakan kod QR untuk laluan imigresen di pusat pemeriksaan darat, tambahnya.
ICA menyatakan bahawa semua penumpang bas, termasuk pengguna kerusi roda dan kumpulan keluarga sehingga empat orang, boleh menggunakan laluan kod QR di balai bas. – Bernama