Wednesday, July 17, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Laluan kargo udara Ezhou-Budapest dilancarkan

    WUHAN, 17 JUN – Laluan kargo udara antarabangsa baharu yang menghubungkan Lapangan Terbang Huahu Ezhou di tengah Wilayah Hubei China dengan ibu negara Budapest di Hungary, telah dilancarkan hari ini, menurut SF Airlines.

    Laluan kargo Ezhou-Budapest merupakan laluan udara kargo pertama yang menghubungkan Hungary dari Lapangan Terbang Huahu Ezhou, yang merupakan lapangan terbang pertama di China yang memberi tumpuan kepada kargo. Ia juga merupakan laluan ketiga SF Airlines dari lapangan terbang itu ke Eropah.

    Dikendalikan oleh pesawat pengangkut B747-400, satu penerbangan ulang-alik dijadualkan setiap minggu, menyediakan penghantaran kargo udara dengan kapasiti lebih daripada 200 tan setiap minggu.

    Laluan udara itu akan menyediakan perkhidmatan terutamanya untuk penghantaran bungkusan ekspres dan barangan e-dagang. Ia juga akan memperluas saluran logistik udara antara kedua-dua negara dan meningkatkan pertukaran ekonomi China-Eropah, menurut SF Airlines.

    Lapangan Terbang Huahu Ezhou, yang mula beroperasi pada Julai 2022, adalah hab lapangan terbang yang memberikan tumpuan kepada kargo dengan trafik kargo yang meluas dan beberapa trafik penumpang.

    Pada April 2023, ia membuka laluan kargo antarabangsa pertamanya yang di-kendalikan oleh SF Airlines.

    Beribu pejabat di Shenzhen, SF Airlines ialah syarikat penerbangan kargo udara terbesar China berdasarkan saiz armada. Sehingga kini, ia telah mengembangkan rangkaian laluan antarabangsa dari Ezhou ke destinasi di Eropah, Amerika Utara, Timur Tengah, Asia Selatan, Asia Tenggara dan Asia Timur, kata syarikat penerbangan kargo itu. – Xinhua

    Kakitangan SF Airlines bergambar ramai di hadapan kapal terbang untuk laluan kargo Ezhou-Budapest di Lapangan Terbang Ezhou Huahu di tengah Wilayah Hubei, China. – Xinhua
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Nepal, India kerjasama cari mayat hilang tragedi bas hanyut

    KATHMANDU, 17 JULAI – Pihak berkuasa tempatan sedang berkerjasama dengan pegawai sempadan daerah India untuk mencari mayat dalam kemalangan Simaltal, di mana tanah runtuh...