Friday, April 11, 2025
28.5 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Landasan kereta api Yangon-Mandalay, Lapangan Terbang Mandalay kembali beroperasi

YANGON, 6 APRIL – Perkhidmatan landasan kereta api Yangon-Mandalay dan Lapangan Terbang Antarabangsa Mandalay dibuka semula selepas ditutup susulan kerosakan akibat gempa bumi kuat yang melanda pada 28 Mac lalu, Xinhua memetik laporan akhbar rasmi The Global New Light of Myanmar, hari ini.

Gempa bumi itu merosakkan 60 benteng dan 11 jambatan kereta api di sepanjang laluan Yangon-Mandalay, selain menyebabkan beberapa bahagian landasan menjadi bengkok.

Myanma Railways memulakan kerja pembaikan segera menggunakan tenaga kerja, jentera serta logistik, menurut laporan itu.

Bagi menjamin keselamatan operasi, siri ujian laluan dilakukan menggunakan kereta api kargo pada 3 April dan kereta api penumpang pada 4 April, manakala perkhidmatan kereta api disambung semula pada pagi kelmarin.

Sementara itu, perkhidmatan kereta api di laluan Yangon-Pyay dan Yangon-Mawlamyine masih beroperasi seperti biasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Lapangan Terbang Antarabangsa Mandalay kembali beroperasi untuk penerbangan domestik bermula 4 April.

Sehingga kelmarin, empat syarikat penerbangan tempatan telah mengendalikan 13 penerbangan, melibatkan 972 penumpang – 399 ketibaan dan 573 perlepasan. – Bernama

Gambar Freepik
- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda