BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Mereka yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Australia khasnya di Universiti Tasmania bertaraf dunia, bolehlah mengetahuinya lebih terperinci menerusi Pegawai Perekrutan Antarabangsa, Joshua Bomford di agensi perkhidmatan pendidikan Findlay pada 4 Oktober ini.
Menurut kenyataan yang diterima, Universiti Tasmania atau UTAS yang ditubuhkan pada 1890, merupakan universiti keempat tertua di Australia dengan memiliki beberapa kampus di Hobart dan Launceston.
Bukan saja terletak di pulau indah negeri Tasmania, universiti bertaraf dunia itu termasuk dalam ranking Top 300 QS dan ARWU dengan menawarkan pengalaman pembelajaran unik dan menarik dengan kemudahan berkelas dunia dan penginapan mengagumkan. Di samping itu, ia turut menawarkan lebih 100 pengajian sarjana muda dan lebih 150 program lepas ijazah daripada sijil ijazah hingga ijazah penyelidikan.
Sementara, lima kolej dan tiga institut bertaraf dunia juga menawarkan ijazah dalam kedua-dua disiplin seperti undang-undang, perubatan, arkitek, perniagaan, ICT dan kejuruteraan dan juga program baharu seperti kejuruteraan maritim, keselamatan makanan, undang-undang persekitaran dan pentadbiran dan sains maritim.
Universiti tersebut juga menawarkan program biasiswa berdasarkan merit dengan pelajar menerima diskaun 25 peratus bagi yuran tuisyen bagi hampir keseluruhan program semasa tempoh pengajian mereka.