ROM, 2 FEB – Peminat Udinese menyerang kereta api yang membawa penyokong Venezia selepas perlawanan Serie A mereka pada kelmarin, menyebabkan pergaduhan besar yang mengakibatkan beberapa orang cedera dan lapan ditahan, kata polis Itali pada hari ini.
Kira-kira 50 penyokong Udinese dari Itali dan Austria, ramai yang menutup muka dan yang lain memegang suar serta bom asap, mengerumuni landasan di Basiliano, tidak jauh dari bandar Udine di timur laut, tempat pasukan tuan rumah menang 3-2.
Mereka memaksa sebuah kereta api yang membawa penyokong Venezia pulang daripada perlawanan itu berhenti, pada masa itu, puluhan penyokong yang berada di dalam kereta api turun ke platform, mencetuskan apa yang digambarkan polis sebagai ‘pergaduhan besar’.
Pertempuran yang berlaku pada petang itu hanya berlangsung beberapa minit apabila pihak polis campur tangan dengan cepat, dibantu oleh helikopter polis.
Kebanyakan penyokong Udinese melarikan diri dan penyokong Venezia kembali ke dalam kereta api, kata polis dalam kenyataan.
Namun, lapan orang telah ditahan, termasuk lima orang Austria, seorang Bosnia dan seorang Albania.
Beberapa orang peminat cedera, dua daripadanya dihantar ke hospital Udine dengan ambulans, manakala tiga pegawai polis juga cedera.
Kereta api tersebut juga rosak akibat objek yang dibaling ke arah gerabak, kata polis.
Penumpang yang tidak menghadiri perlawanan itu dipindahkan ke kereta api lain dan penyokong Venezia dipindahkan ke gerabak yang tidak rosak.
Mereka semua meninggalkan tempat kejadian sekitar pukul 8 malam, kurang dua jam selepas kejadian bermula.
Perlawanan itu telah dianggap sebagai berisiko tinggi selepas keganasan meletus ketika kedua-dua pasukan bertemu di Venice pada 30 Oktober, apabila penyokong Udinese diserang berhampiran stesen kereta api sebelum mereka pulang.
Polis berkata mereka telah menyediakan pengiring untuk kira-kira 1,200 penyokong Venezia dari kereta api mereka ke stadium pada Sabtu dan kembali semula.
Pegawai polis juga ditempatkan di Basiliano untuk mengawal sekiranya berlaku perhimpunan penyokong Udinese.
Menurut akhbar Itali, penyokong Udinese pada hujung minggu ini disokong oleh ultras dari kelab Austria, Salzburg, yang mempunyai hubungan dengan mereka. – AFP