Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Lapan pegawai tamat Program Perkembangan Perkhidmatan Awam

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Lapan orang pegawai dari pelbagai kementerian kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyertai dan menamatkan Program Perkembangan Perkhidmatan Awam yang julung kali diadakan semasa majlis penutup program yang diadakan di Bahagian Perkhidmatan Awam Republik Singapura pada 27 Mei lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, menyatakan bahawa hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pembangunan), Bahagian Perkhidmatan Awam Republik Singapura, Teoh Zsin Woon; Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam), JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin; dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr Norfarizal bin Othman.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Kaunselor selaku Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, Haji Ahmad Nasri bin Dato Dr Haji Abdul Latif.

    Pada majlis berkenaan, Awang Ajman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada kerajaan Republik Singapura atas hala tuju berwawasan dan komitmen teguh yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan program berkenaan.

    Menyentuh mengenai hubungan dua hala yang telah lama terjalin di antara kedua-dua buah negara, Awang Ajman melahirkan harapan agar hubungan silaturahim yang terjalin sepanjang program itu akan berkembang dengan aspirasi bersama ke arah masa depan yang lebih makmur.

    Melalui program itu, para pegawai berpeluang untuk menimba pengalaman kerja melalui penempatan di agensi kerajaan dan berkaitan kerajaan Republik Singapura dalam bidang-bidang keutamaan ke arah meningkatkan dan membangunkan kompetensi, meluaskan rangkaian profesional dan menyumbang kepada perkembangan kementerian masing-masing khasnya serta perkembangan pihak kerajaan secara amnya.

    ATAS & BAWAH: Lapan orang pegawai bergambar ramai setelah menamatkan program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JPA
    GAMBAR SERAHAN JPA

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...