Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laporan anak Abby Abadi meninggal dunia tak benar

    Personaliti media sosial yang juga merupakan anak pasangan pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim iaitu Marissa Dania kurang senang dengan laporan berita palsu mengaitkan kematian dirinya, kongsi mStar.

    Kata Marissa atau Marissa Dania Hakim, 19, tindakan tidak bertanggungjawab itu dilihat sengaja dicetuskan bertujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata.

    “Sanggup buat apa sahaja untuk duit,” katanya menerusi satu hantaran di InstaStory.

    Dalam hantaran tersebut, Marissa turut memuat naik paparan skrin laporan berita bertajuk Anak Abby Abadi Meninggal Dunia yang dikongsi oleh seorang pengikut.

    Hasil carian mendapati ia merupakan berita palsu namun menggunakan logo dan nama daripada portal terkemuka semata-mata untuk menarik perhatian ramai.

    Artikel tersebut bagaimanapun tidak pernah diterbitkan sebaliknya hanya disertakan pautan membawa pembaca kepada platform e-dagang terkenal untuk mempromosikan produk.

    “Allahuakbar, ingatkan betul-betul buka pautan terus masuk laman jualan. Senang betul buat duit,” tulis pengikut berkenaan.

    Marissa bukan selebriti pertama menjadi sasaran malah sebelum ini beberapa nama besar lain seperti Sheila Majid dan Alif Satar turut menjadi mangsa dengan modus operandi sama. – Agensi

    Marissa kesal apabila ada yang sanggup menyebarkan fitnah demi keuntungan. – portalsemakan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda