Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laporan berkaitan media sosial tertinggi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Sepanjang 2022, BruCERT sebuah agensi di bawah Cyber Security Brunei (CSB) telah menerima sebanyak 496 laporan kes di mana sebanyak 165 kes atau 33 peratus adalah kes berkaitan dengan media sosial, 104 kes atau 20 peratus adalah kes-kes berkaitan penipuan serta selebihnya merangkumi kes-kes berkaitan malware, penggodaman, buli siber dan sebagainya.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dalam pembentangan Peruntukan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bagi Tahun Kewangan 2023/2024 semasa permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.

    Menurutnya, CSB melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengatasi kes-kes terbabit.

    Antaranya ialah menyebarkan kesedaran, pengetahuan dan nasihat.

    “Ini termasuk penyediaan dasar serta pelaksanaannya seperti Penyediaan Perintah Keselamatan Siber, mengukuhkan penyelarasan dan tadbir urus di peringkat kebangsaan dalam keselamatan siber melalui Jawatankuasa Kebangsaan Keselamatan Siber dan penyediaan rangka kerja perundangan bagi perlindungan data peribadi,” tambahnya.

    Terdahulu dalam pembentangannya, beliau menyatakan bahawa kementeriannya memberi perhatian serius ke arah memastikan persekitaran digital yang selamat dan terjamin bagi pengguna baik dalam kalangan kerajaan, perniagaan mahupun pengguna awam.

    “Ini adalah selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 di mana sekuriti siber adalah salah satu Pemboleh Strategik untuk mendokong ekonomi digital, khususnya bagi memastikan data, infrastruktur dan rangkaiannya adalah terpelihara dari ancaman keselamatan siber,” ujarnya.

    Selain daripada itu, tambahnya, CSB bersama dengan Pihak Berkuasa Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) juga melaksanakan pelbagai inisiatif masing-masing dan secara bersama mengenai peralihan kepada cara hidup yang semakin digital.

    Ia termasuk mengadakan program-program bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran digital pengguna seperti Program Latihan Kemahiran Celik ICT dan Digital for All yang dilaksanakan oleh AITI bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai celik digital dan kemahiran asas ICT.

    Yang Berhormat Pengiran Dato menerangkan, program-program yang diperkenalkan sejak 2019 itu, melibatkan penyertaan ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas, ahli-ahli majlis perundingan kampung, kumpulan remaja dan kanak-kanak di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) bagi mengikuti latihan kemahiran asas ICT, e-Dagang, aplikasi Pemasaran Digital dan Keselamatan Siber dalam talian untuk kegunaan harian.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda