TOKYO, 3 DIS – Seorang wanita warga Jepun yang memperjuangkan kempennya bagi menentang penggunaan kasut tinggi ketika waktu bekerja mendapat perhatian dan sokongan ramai tatkala beliau sedang berusaha untuk menentang kod pakaian korporat yang ketat termasuk larangan de-facto dalam penggunaan kaca mata terhadap wanita.
Pelakon yang juga penulis bebas, Yumi Ishikawa bertekad untuk terus memperjuangkan pendiriannya menentang budaya etika pakaian warga Jepun ketika bekerja, di mana penggunaan kasut tinggi sering kali dilihat digunakan oleh kaum wanita lebih-lebih lagi ketika mereka mencari pekerjaan di pejabat-pejabat.
Dengan slogan ‘KuToo’ – satu perkataan yang berasal daripada Bahasa Jepun, ‘Kutsu’ bermaksud kasut dan ‘Kutsuu’ bermaksud ‘kesakitan’ – kempen tersebut mendapat perhatian warga Jepun dan sokongan daripada mereka kelmarin.
Petisyen terbaharu Ishikawa untuk peraturan baharu itu telah diserahkan kepada Kementerian Buruh hari ini, dan telah mendapat sokongan selepas mendapat lebih 31,000 tandatangan.
“Peraturan baharu ini perlu dipraktikkan dan dinilai,” jelasnya.
Petisyen kempen terbaharu itu sebelum ini telah diusulkan kepada kerajaan pada Jun lalu yang telah menggesa mereka untuk menilai semula penggunaan kasut tinggi sebagai satu pelanggaran.
Bagaimanapun Ishikawa berkata maklum balas mengenai kempen tersebut adalah kurang mendapat perhatian dan dia terkejut apabila usul itu tidak disentuh dalam draf peraturan kerajaan yang didedahkan pada Oktober lalu. – AFP