Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Larian Amal PENJURU kumpul dana bantu OKU, anak yatim

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Bersempena dengan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa yang disambut setiap 21 Mei, Persatuan Jururawat Brunei Darussalam (PENJURU) telah mengadakan Larian Amal PENJURU yang diadakan buat julung kalinya di Pusat Promosi Kesihatan, Jalan Menteri Besar, Berakas, hari ini.

    Hadir bagi melancarkan acara larian ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, selaku tetamu kehormat majlis.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengetuai acara berjalan kaki sejauh 1.3km sekitar Pusat Promosi Kesihatan.

    Acara tersebut diadakan bertujuan mengumpulkan dana di mana 30 peratus sumbangan akan diberikan kepada anak-anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU) di bawah PENJURU.

    Dua kategori dipertandingkan iaitu larian maya dan larian amal meliputi 10km. Bagi larian maya, dua kategori dibukakan iaitu larian 50km dan cabaran berpasukan sejauh 300km dan tempoh larian ditetapkan selama sebulan dari hujung bulan Mei hingga hujung Jun.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa merasmikan La-rian Amal PENJURU bertempat di Pusat Promosi Kesihatan, kelmarin.

    Bagi acara individu 50km, para peserta yang menghabiskan jarak larian yang ditetapkan terpantas akan diumumkan sebagai pemenang.

    Manakala bagi larian cabaran berpasukan 300km, sebuah pasukan yang terdiri daripada empat anggota akan berlari dan mengumpulkan larian sekurang-kurangnya 300km dalam tempoh sebulan. Bagi kategori tersebut, pasukan yang mengumpul jumlah jarak paling jauh akan diumumkan sebagai pemenang.

    Sementara itu, bagi larian amal 10km, format larian pertandingan dipecahkan kepada empat kategori iaitu terbuka lelaki, lelaki veteran (berumur 48 tahun dan ke atas), terbuka wanita dan wanita veteran (berumur 45 tahun dan ke atas).

    Larian amal 10km akan bermula dari Pusat Promosi Kesihatan melalui sepanjang Jalan Perdana Menteri menuju Stesen Bomba Sumbiling, melintasi Hotel Terrace dan melalui Jalan Kebangsaan.

    Sesudah itu, para peserta akan melintasi Jalan Dewan Majlis, sebelum kembali menuju Taman Rekreasi Jalan Menteri Besar dan menamatkan larian di Pusat Promosi Kesihatan.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Haji Nipah @ Ariffin bin Haji Hassan dan kemudian diikuti dengan sesi pemanasan badan diketuai oleh Haji Hasnani @ Haji Naning bin Haji Abdul Rahman dan seterusnya Yang Berhormat Menteri Kesihatan merasmikan larian amal 10km bagi kategori lelaki dan wanita.

    Acara diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah bagi pemenang 10km dan larian maya serta penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja larian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda