Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Lebih 1,000 orang peserta berkumpul untuk meraikan semangat persahabatan dan kecemerlangan dalam bersukan dengan sama-sama mengambil bahagian dalam Larian Ria Sukan Asia ke-19, Hangzhou 2022 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini.
Berangkat bagi menyertai larian ria tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC). Berangkat sama ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Aliiyah Amalul Bulqiah.
Keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Larian Ria Sukan Asia ke-19 Hangzhou.
Acara didahului dengan sesi bergambar ramai bersama para peserta larian yang juga menampilkan peserta kanak-kanak dan orang kelainan upaya.
Di majlis itu, Naib Presiden Majlis BDNOC, Haji Mohd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani, selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Penganjur Larian Ria, dalam sembah alu-aluannya menyatakan bahawa acara larian ria itu dibukakan penyertaan kepada semua termasuk mereka yang berkelainan upaya dengan lima kategori diketengahkan iaitu Terbuka Lelaki dan Wanita, Lelaki dan Perempuan Bawah 12 Tahun serta Peserta Kelainan upaya.
Beliau turut melahirkan penghargaan dan bangga terhadap semua peserta yang sama-sama hadir untuk memeriahkan lagi acara larian. Ia diharap akan dapat mengeratkan lagi silaturahim dan menjana memori yang istimewa bagi Sukan Asia 2022 yang akan diadakan di Hangzhou, Republik Rakyat China pada September kelak.
Majlis seterusnya menyaksikan wakil dari Majlis Olimpik Asia (OCA), Pengarah Projek dan Operasi, Wissam Trkmani menyampaikan sembah alu-aluannya, menekankan bahawa temasya Sukan Asia meraikan gabungan elemen sukan dan kebudayaan. Ia berkongsi semangat Olimpik dan menggalakkan penyertaan masyarakat untuk sama-sama memeriahkan temasya sukan berkenaan.
Sementara itu, wakil Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Hangzhou (HAGOC), Pengarah Jabatan Undang-Undang, Yu Xuekun dalam sembah alu-aluannya menyatakan bahawa persiapan sedang giat dilaksanakan dan akan siap se-penuhnya bagi sukan tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa larian ria itu bukan sahaja satu tradisi Sukan Asia tetapi juga satu acara utama Sukan Asia ke-19 Hangzhou di mana ia memberikan peluang kepada masyarakat antarabangsa untuk terlibat sama dalam memeriahkan serta menggalakkan hubungan silaturahim di antara warga penduduk berbeza di rantau Asia.
Larian Ria Sukan Asia ke-19 Hangzhou yang diadakan di Bandar Seri Begawan, jelasnya, melambangkan hubungan yang baik di antara kedua-dua bandar raya serta diharap menyebarkan keriangan dan harapan di serata Asia selain mengeratkan persahabatan di antara warga Asia.
Ia juga diharap dapat meningkatkan minat orang ramai mengenai Sukan Asia ke-19 Hangzhou yang melambangkan perpaduan dan harapan untuk semua, tambah Yu Xuekun.
Majlis diikuti dengan sesi pemanasan badan, seterusnya DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara berkenan melancarkan serta menyertai larian ria yang bermula di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan berakhir di Taman Mahkota Jubli Emas.
Di akhir acara, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menganugerahkan pingat sempena memperingati larian itu kepada 10 pemenang daripada setiap kategori larian.
Salah seorang peserta OKU dalam larian berkenaan, Awang Alihan bin Muda menyatakan perasaan gembira kerana mereka turut diberikan peluang untuk sama-sama mengambil bahagian dan memeriahkan acara larian ria tersebut.
Menurutnya, larian itu merupakan pembakar semangat bagi atlet-atlet paralimpik untuk sama-sama meraikan Sukan Asia di Hangzhou nanti di mana ia juga akan menyaksikan penyertaan daripada atlet-atlet paralimpik.
Beliau yakin acara itu juga akan menyatukan semua atlet termasuk atlet paralimpik yang akan terpilih untuk mewakili negara ke Sukan Asia.
Sukan Asia ke-19 dijadualkan berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober di Hangzhou, Zhejiang, Republik Rakyat China.