Sunday, December 15, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Larian Tutong Half Marathon meriah

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    TUTONG, 15 OKT – Lebih 200 orang peserta menyahut cabaran Larian Tutong Half Marathon 2023 sejauh 21 kilometer bermula dari Taman Riadah Bukit Kinyam, Kampung Bukit Udal Tutong ke Dewan Serba guna Kampung Bukit, hari ini.

    Berangkat menyertai acara maraton berkenaan dalam kategori Terbuka Wanita, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

    Pada larian berkenaan, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berjaya menduduki tempat kelapan dengan catatan masa 2 jam, 40 minit.

    Enam kategori dipertandingkan semasa acara tersebut iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Veteran Lelaki (41 hingga 48 tahun), Veteran Wanita (41 hingga 48 tahun), Veteran Senior Lelaki (49 ke atas) dan Veteran Senior Wanita (49 ke atas).

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang di majlis yang berlangsung di Dewan Serba guna Kampung Bukit, Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menyertai acara Larian Tutong Half Marathon 2023 dalam kategori Terbuka Wanita. – Gambar oleh Infofoto
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama peserta larian. – Gambar oleh Infofoto

    Juara bagi kategori Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita masing-masing disandang oleh Awang Ruzaini Mahadi dan Dayang Nordiyanah binti Siew, sementara johan dalam kategori Veteran Lelaki dan Veteran Wanita pula masing-masing dimenangi oleh Awang Mohd Nor Risman bin Ismail dan Tho Siaw Khim.

    Sementara tempat pertama dalam kategori Veteran Senior Lelaki dan Veteran Senior Wanita pula dirangkul oleh Awang Seflie Ahar dan Dayang Husna binti Abdullah.

    Hadiah bagi tempat pertama ialah wang tunai sebanyak $400, manakala tempat kedua wang tunai sebanyak $300 dan tempat ketiga sebanyak $200.

    Larian tersebut dianjurkan oleh Tutong Runners (TR) dan Limin Cardio Fitness (LCF) dengan kerjasama Shahney Event Management, turut disokong oleh Majlis Perundingan Mukim (MPM) Ukong, Majlis Perundingan Kampung Penapar dan Kampung Bukit Udal serta Majlis Perundingan Kampung Bukit dan Kampung Long Mayan.

    Acara tersebut merupakan salah satu acara yang menggunakan pendekatan semua pihak seperti Jabatan Daerah Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei bersama pertubuhan bukan kerajaan seperti TR, LCF dengan kerjasama MPM dan kampung bersatu padu mengendalikan acara-acara yang boleh mendatangkan impak kepada kemajuan sukan, pengukuhan organisasi termasuk institusi akar umbi di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda