Oleh Imelda Groves HA
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Setelah empat tahun berturut-turut menyertai perbarisan lalu dalam Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, tahun ini menjadi sambutan yang tidak dapat dilupakan bagi Awang Muhammad Ihsan Sabri bin Haji Abdul Manap apabila diberi tanggungjawab dan kepercayaan mengetuai bacaan ikrar.
Semasa ditemui selepas upacara di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini, Awang Muhammad Ihsan Sabri, 30, yang merupakan Pegawai Pentadbir Tingkat 1 juga selaku Pemangku Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara di Jabatan Daerah Brunei dan Muara telah melahirkan rasa gembira dan bangga apabila diberi tanggungjawab lebih besar dan bermakna tahun ini.
Menceritakan perasaannya semasa membaca ikrar, beliau berkata, sewaktu berada di podium dan menyedari bahawa bacaan ikrar itu akan diikuti oleh ratusan ribu orang yang berada di taman tersebut dan mereka yang menyaksikan melalui kaca TV serta mendengar melalui radio, beliau berasa sedikit gelisah dan gementar, ditambah lagi dalam keadaan hujan lebat.
Tetapi dengan bantuan daripada teman-teman pasukan ikrar dan juga jurulatih-jurulatih yang sentiasa memberikan dorongan positif dan sentiasa mengingatkan untuk sentiasa tenang, bertawakal dan yang paling penting untuk menjiwai setiap patah perkataan yang akan dilaungkan, beliau berjaya mengawal rasa gementar.
Seperti yang sentiasa diingatkan oleh jurulatih dan teman-teman, bacaan ikrar adalah untuk raja yang disanjung dan untuk negara serta bangsa, maka lafazkanlah dan laungkanlah dengan semangat dan patriotik.
![Awang Muhammad Ihsan Sabri ketika mengetuai bacaan ikrar dalam Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/2A_240217.jpg)
“Memang tidak diragui pada pertengahan melafazkan ikrar, saya berasa terharu kerana terfikir dan terkenang kembali akan pengorbanan orang-orang kita dahulu dalam mencapai kemerdekaan,” katanya lagi.
Beliau berkata, kumpulan ikrar telah berkumpul sejak jam 4 pagi lagi, para peserta ikrar bersama jurulatih-jurulatih memulakan hari dengan sembahyang berjemaah Fardu Subuh dan Sunat Hajat agar semuanya berjalan dengan lancar.
“Alhamdulillah, tahun ini persiapan telah pun diberikan dengan lebih awal lagi iaitu pada awal bulan Januari. Persiapan yang dimaksudkan adalah dengan latihan-latihan fonemik dan sebutan-sebutan dalam bacaan ikrar yang diketuai oleh Hajah Noryati dari Dewan Bahasa dan Pustaka.
“Manakala, bagi sebutan-sebutan yang berkaitan dengan Bahasa Arab dipersiapkan oleh Ustaz Kharhad dan seterusnya latihan intensif bagi lontaran vokal, intonasi, nada dan juga kawad dipimpin oleh Haji Khairul dan Awang Hafizul,” jelasnya.
Beliau juga telah menceritakan proses pemilihan pembaca ikrar yang katanya bermula setelah dilantik untuk mewakili jabatan-jabatan kemudian mereka ditapis daripada seramai 127 orang peserta kepada 40 orang.
Sesi pemilihan bukanlah sahaja berdasarkan kepada lontaran dan kualiti suara individu itu, tetapi juga aspek lain seperti pencapaian di tahap persendirian, jabatan, negara dan juga antarabangsa diambil kira.
“Memang pada mulanya saya berasa gementar kerana peserta-peserta yang hadir pada ketika itu memang cukup berbakat dalam bacaan ikrar dan juga mempunyai pencapaian yang dapat dibanggakan dan menjadi sumber inspirasi,” tambahnya lagi.
Mengulas mengenai tema sambutan tahun ini, Menjayakan Wawasan Negara, beliau berkata, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyediakan landasan dan juga persiapan kepada rakyatnya serta belia-belia negara (bakal pemimpin negara pada masa yang akan datang).
Maka landasan ini, haruslah dipergunakan dengan baik dan secara optima.
Rakyat, belia-belia negara, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan haruslah sentiasa menanamkan sikap yang mandiri bagi mencapai kecemerlangan di setiap aspek dalam kehidupan mereka dan diniatkan untuk negara dan bangsa mereka.
Dengan niat yang sedemikian, katanya, kejayaan dan kecemerlangan yang diraih akan lebih holistik dan bermakna.
“Negara Brunei Darussalam adalah negara dan tanah tumpah lahir darah kita, maka kita bersama-sama mempunyai peranan yang penting dalam memastikan kecemerlangan negara kita.
“Kita akan sentiasa menghadapi pelbagai cabaran terhadap aspek ekonomi, sosial dan politik berdasarkan faktor global dan juga masa. Maka, amatlah penting bagi setiap rakyat dan belia untuk berfikiran yang lebih terbuka dan mandiri bagi merebut segala peluang yang ada dalam memainkan peranan secara optima dalam sama-sama membangun negara secara mapan,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu, jika diberikan kesempatan dan izin Allah, beliau pasti akan turut serta lagi bagi memeriahkan dan juga sekali lagi melakar sejarah dalam Sambutan Hari Kebangsaan akan datang, biarpun di sebalik tabir dalam persediaan Sambutan Hari Kebangsaan, tugas dan tanggungjawab akan dipikul dengan bangganya sebagai orang Brunei.
Dalam pada itu, beliau menyatakan harapan agar para belia akan meraih peluang ini selagi diberikan kerana ia akan menjadi kenangan dan kebanggaan untuk menjadi ristaan kepada anak masing-masing dan generasi seterusnya tentang bagaimana peranan diri mereka semasa menyambut hari bersejarah itu.
“Apabila anda mengambil bahagian, anda akan dapat rasakan semangat patriotisme berkobar dalam diri anda. Apabila anda mengalaminya, anda akan faham apa yang saya maksudkan,” ujarnya lagi.