Friday, January 3, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laungan takbir semarak Malam Munajat Aidiladha

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Majlis Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi minggu ke-43 malam tadi telah disemarakkan dengan laungan Takbir Hari Raya sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 1443H.

    Malam Munajat Aidiladha minggu ini dianjurkan bersama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan penyertaan warga kerja kedua-dua kementerian tersebut berserta keluarga masing-masing di samping para jemaah dari masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

    Bersama menyerikan majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Majlis kali ini turut diserikan dengan penyertaan secara maya oleh jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang mengikuti pakej Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd dan Syarikat Al-Hijrah Travel dan Tours Sdn Bhd yang baru tiba di Mina, Mekah Al-Mukarramah.

    Majlis telah dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

    Kemudian, majlis diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dari Masjid Kampung Serdang sebelum laungan takbir Hari Raya secara maya yang dibawakan oleh warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Laungan takbir raya juga digemakan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah dari masjid berkenaan dan Kumpulan Belia Masjid Muhammad Jamalul Alam dari masjid berkenaan.

    Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Munajat dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bersama tetamu dan jemaah haji pada majlis Malam Munajat Aidiladha, baru-baru ini.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda