Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Seramai 100 orang belia daripada pelbagai latar belakang menyertai Kem Eksplorasi Antarabangsa (KEA) 2019 anjuran Alumni Program-Program Antarabangsa (APPA) dan dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan yang bermula kelmarin di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Perasmian perkhemahan tiga hari hingga esok itu telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said.
Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin dalam ucapannya menekankan bahawa belia adalah asset yang sangat berharga bagi negara terutama dalam membangun dan menanai hasrat kerajaan untuk meningkatkan Revolusi Industri 4.0 terutama dalam meningkatkan kestabilan eknomi melalui berbagai-bagai usaha perniagaan.
“KKBS sendiri telah menyediakan kemudahan dan peluang perniagaan melalui pertanian di mana kementerian telah menyediakan beberapa bidang tanah untuk diusahakan oleh para belia menceburi bidang ternakan dan pertanian,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan melalui KKBS telah membelanjakan sejumlah peruntukan kewangan yang sangat besar bagi menghantar para belia di negara ini untuk mengikuti program-program rantau ASEAN dan antarabangsa sama ada bagi mengikuti program kesukanan mahupun kebeliaan.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi 1 KEA, Dayang Nur Syazwani binti Haji Rosaimi dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, kem tersebut diungkayahkan oleh bekas peserta enam program iaitu Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP); ASEAN Youth Leader’s Preparatory Meeting for 2019 Youth Interface with ASEAN Leaders; ASEAN Youth Representatives in Experiencing the Philosophy of Sufficiency Economy (AY-REPSE); Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths (JENESYS); ASEAN Youth Interfaith; dan Program Pertukaran Belia Brunei-Korea (BKYEP).
Menurut beliau, kem yang pertama kali diadakan tersebut telah mendapat sambutan yang tidak disangkakan yang mana penyertaannya telah mencecah 100 orang belia yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan belia, belia masjid, institusi pengajian tinggi dan orang perseorangan.
