Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Lebih 100 kes kanser payudara setiap tahun

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Kanser payudara merupakan kanser paling utama dalam kalangan wanita di Negara Brunei Darussalam di mana lebih daripada 100 kes baharu dikesan setiap tahun.

    Dari 2002 hingga 2022, kes payudara yang dicatatkan berjumlah 1,814 kes dan pada 2022 sahaja, kira-kira 148 wanita di Negara Brunei Darussalam telah disahkan menghidap penyakit kanser payudara dan sebanyak 35 kematian akibat kanser itu telah dicatatkan pada tahun yang sama.

    Perangkaan itu dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2023.

    Terdahulu dalam perutusannya, beliau menyatakan kanser payudara ialah kanser yang paling kerap didiagnosis dan penyebab utama kematian kanser wanita di seluruh dunia.

    “Menurut data yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 2.3 juta kes kanser payudara baharu, satu dalam empat kes kanser baharu, dan 685,000 kematian akibat kanser payudara, satu dalam enam kematian, dicatatkan pada tahun 2020.”

    Gambar serahan Kementerian Kesihatan
    Gambar Freepik

    Yang Berhormat Dato menerangkan faktor risiko menghidap kanser payudara termasuk mempunyai keluarga terdekat atau sejarah keturunan menghidap kanser payudara.

    Manakala faktor risiko lain pula termasuk faktor yang tidak boleh dikawal seperti peningkatan usia, jantina wanita, mempunyai sejarah lalu kanser payudara serta awal datang haid.

    Beliau menyatakan di antara faktor risiko yang boleh dikawal pula adalah seperti mempunyai berat badan berlebihan, tidak melakukan kegiatan fizikal, merokok dan mengamalkan pemakanan yang tidak sihat.

    Bulan Oktober merupakan Bulan Kesedaran Kanser Payudara dan pada 2023, tema sambutan ialah Think Pink, Take Action, di mana kaum wanita digesa mengambil tindakan melalui pemeriksaan payudara sendiri setiap bulan dan menjalani pemeriksaan mamogram secara berkala.

    Kempen yang diadakan sekali setahun selama sebulan itu, ulas Yang Berhormat Dato, juga memberikan peluang kepada individu dan masyarakat am di seluruh dunia termasuk Negara Brunei Darussalam akan kepentingan kesedaran mengenai kanser payudara dari segi risikonya, faktor penyebabnya dan kepentingan pengesanan awal.

    “Bulan ini bertujuan untuk memberikan sokongan dan semangat kepada mereka yang terjejas akibat kanser payudara termasuk pesakit mahupun keluarga untuk terus tabah dalam mengharungi cabaran dan perjalanan melawan penyakit berkenaan,” tekannya.

    Seterusnya dalam perutusan berkenaan, Yang Berhormat Dato menyatakan mengetahui keadaan payudara sendiri dan mengamalkan pemeriksaan payudara sendiri (BSE) setiap bulan disertakan dengan kaedah pengimejan payudara mamogram boleh membantu mengesan kanser payudara pada peringkat awal.

    Jika individu mengalami sebarang perubahan pada bahagian payudara, misalannya terdapat ketulan sama ada sakit ataupun tidak, individu berkenaan disarankan untuk mendapatkan nasihat perubatan dan penilaian selanjutnya di mana-mana pusat kesihatan, klinik atau hospital dengan seberapa segera.

    “Sekiranya kanser payudara dikesan pada peringkat awal, rawatan akan lebih efektif dan besar kemungkinan boleh sembuh.

    “Namun, jika kanser dikesan pada peringkat akhir atau telah merebak ke kelenjar limfa atau bahagian badan lain, rawatan akan menjadi panjang dan lebih rumit.

    “Sebagai contoh, rawatan kanser payudara tidak perlu melibatkan pembedahan membuang keseluruhan payudara jika ia telah dikesan lebih awal, iaitu ketika ketulan atau ketumbuhan masih bersaiz kecil.

    “Pengesanan awal kanser meningkatkan hasil kesembuhan dan menyelamatkan nyawa,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Beliau seterusnya menyatakan dalam menyokong pencegahan dan pengesanan awal kanser payudara, usaha bersama sebagai satu masyarakat adalah amat digalakkan dan tidak terhad kepada usaha daripada pihak kerajaan sahaja bahkan pihak swasta, sekolah dan institusi pendidikan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga boleh memainkan peranan yang berimpak besar dalam menyebar dan memberikan kefahaman berkaitan kanser payudara.

    “Sokongan juga boleh diberikan melalui pelbagai cara seperti mengadakan forum atau dialog di tempat kerja, acara bertemakan warna merah jambu, aktiviti menerusi media sosial dan sebagainya,” tambahnya.

    Pada Oktober 2019, Kementerian Kesihatan, jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, telah memperkenalkan Program Pemeriksaan (Saringan) Kanser Payudara di mana sejak pelancarannya, 12 peratus iaitu kira-kira 5,445 orang wanita yang memenuhi kriteria telah melalui proses saringan itu.

    Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program pemeriksaan itu, boleh melayari laman sesawang, www.ppkk.gov.bn.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...