Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Forum SDD galak kerjasama keselamatan

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke forum 2023 Seoul Defense Dialogue (SDD 2023) dan Seoul International Aerospace and Defense Exhibition (ADEX) yang diadakan pada 17 hingga 22 Oktober di Seoul, Republik Korea.

    Turut menghadiri SDD 2023 tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Multak Negara Brunei Darussalam ke Republik Korea, Puan Yang Terutama Pengiran Hajah Nooriyah binti Pengiran Lela Wijaya Pengiran Haji Yussof.

    SDD 2023 merupakan forum kali ke-12 diadakan dengan membawakan tema Kerjasama untuk Keamanan dan Kemakmuran bertujuan untuk menggalakkan kerjasama demi keselamatan dan keamanan melalui dialog dan membina kepercayaan ketenteraan di Asia Pasifik, termasuk di Semenanjung Korea.

    SDD tahun ini telah dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Nasional, Kementerian Pertahanan Nasional, Republik Korea, Tuan Yang Terutama Shin Won-Sik.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menghadiri SDD 2023 di Seoul, Republik Korea. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua semasa menghadiri forum tersebut. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan

    Manakala ucaptama pembukaan disampaikan oleh mantan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Tuan Yang Terutama Ban Ki Moon.

    SDD merupakan platform dialog keselamatan pelbagai hala peringkat tertinggi di rantau ini yang dihoskan oleh Kementerian Pertahanan Nasional, Republik Korea dan tahun ini acara menyaksikan tiga sesi pleno dan empat sesi khas disampaikan oleh para pegawai peringkat tinggi dan pakar keselamatan awam.

    Sesi tersebut membincangkan isu keselamatan antarabangsa semasa di dalam dan luar rantau Asia Pasifik, keselamatan siber, keselamatan maritim, pengurusan pertahanan negara dan industri pertahanan.

    Di samping SDD 2023, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi juga berkesempatan mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawat dari negara tuan rumah, Australia, Malaysia dan Singapura.

    Sementara itu, SDD 2023 diadakan serentak dengan Seoul ADEX 2023 iaitu pameran aeroangkasa dan pertahanan yang besar di Asia bagi peminat penerbangan, para profesional aeroangkasa, kakitangan pertahanan utama serta orang ramai.

    Seoul ADEX diadakan setiap dua tahun sejak 2009 di Seoul, Korea Selatan yang disertai oleh lebih 550 peserta pameran dari 26 negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Australia, Singapura, Malaysia dan Korea Selatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...