Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100 pemimpin ABAC sertai PPB

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Lebih daripada 100 orang pemimpin perniagaan kanan daripada Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) akan bersidang dan mengambil bahagian dalam Persidangan Perniagaan Brunei (PPB) 2023 yang akan berlangsung di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei pada 27 hingga 30 April ini.

    ABAC Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah bagi persidangan berkenaan dan Mesyuarat ABAC ke-2 di mana para pemimpin ABAC yang bersidang akan meneruskan kerja-kerja mereka untuk menetapkan cadangan-cadangan ABAC yang akan dikemukakan kepada pemimpin-pemimpin APEC bagi Sidang Kemuncak APEC yang bakal diadakan pada November depan.

    Acara yang membawa tema ‘Ekuiti. Kemampanan. Peluang.’ itu akan menyaksikan buat kali pertama pengerusi ABAC dan pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (BAC) sama-sama menghadiri persidangan serta mesyuarat berkenaan.

    Pengerusi bagi Majlis Penasihat Perniagaan APEC Brunei, Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii dipetik menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam amat berbesar hati dan teruja untuk menghoskan Mesyuarat ABAC ke-2.

    Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa persidangan itu merupakan sebuah platform yang unik bagi komuniti perniagaan Brunei menubuhkan rangkaian dengan ABAC serta untuk membincangkan dan menyampaikan cadangan yang substantif mengenai bagaimana mereka boleh bekerjasama bagi menghadapi isu-isu transformasi digital global dan pertumbuhan mampan serta juga mengenal pasti peluang-peluang bagi pertumbuhan perniagaan.

    Persidangan dan mesyuarat ABAC akan menyaksikan penyertaan delegas daripada 21 buah ekonomi APEC yang diketuai oleh Pengerusi ABAC 2023, Dominic Ng iaitu Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif East West Bank yang beribu pejabat di Amerika Syarikat.

    Dominic Ng semasa persidangan dan mesyuarat berkenaan akan berusaha untuk memajukan keutamaan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dalam mengimbangi alam sekitar, menangani perubahan iklim, menyokong sumbangan sektor swasta kepada kemampanan serta mempromosikan dasar-dasar yang mengembangkan peluang-peluang ekonomi di serata rantau APEC.

    Turut mengambil bahagian dalam persidangan dan mesyuarat tersebut ialah Pengerusi BAC 2023, Arsjad Rasjid yang juga merupakan Pengerusi Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN Indonesia) dan Ketua Pegawai Eksekutif Indika Energy.

    Selaku Pengerusi KADIN Indonesia, Rasjid bersuara sebagai wakil lebih 30,000 buah syarikat Indonesia manakala sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Indika Energy, kepimpinannya telah mengemudi syarikat berasaskan mineral untuk mengembangkan asetnya tujuh kali ganda walaupun harga global jatuh, dengan menumpukan kepada kepelbagaian, teknologi digital dan tenaga boleh diperbaharui.

    Pada persidangan itu nanti, Arsjad Rasjid akan mengongsikan keutamaan dan program yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin ASEAN-BAC untuk dimajukan pada 2023, dalam bidang-bidang transformasi digital, pembangunan mampan, daya tahan kesihatan, sekuriti makanan serta memudahkan pelaburan dan perdagangan.

    Perbincangan semasa mesyuarat ABAC di Negara Brunei Darussalam akan memajukan kerja membangunkan cadangan-cadangan ABAC kepada pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC serta ia juga akan membimbing perbincangan bagi dialog tahunan mereka di Sidang Kemuncak Pemimpin APEC pada November nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda