Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100 sertai ALLIED ke-2

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Lebih 100 orang dari agensi kerajaan dan syarikat swasta telah menghadiri Annual Lifelong Learning Industry Engagement Day (ALLIED) ke-2 tahun 2022 yang berlangsung di Damai Ballroom, Aman Hills Hotel, hari ini.

    Acara anjuran Kementerian Pendidikan melalui Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C) itu membawa tema Strengthening Lifelong Learning & Industry Cooperation: Now and Beyond.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh yang antara lain berkata pembangunan sumber manusia melalui pembelajaran sepanjang hayat, tanpa syak lagi, merupakan fungsi penting dalam menyokong pembangunan sosial dan ekonomi negara.

    “L3C berfungsi sebagai pusat maklumat sehenti dan pintu masuk untuk program pembelajaran sepanjang hayat yang ditawarkan oleh pusat dan pelbagai rakan pembelajaran sepanjang hayat daripada kedua-dua sektor awam dan swasta,” ujar Dr Chin Wei Keh lagi semasa berucap pada majlis tersebut.

    Menurut beliau lagi, pusat tersebut juga secara aktif menyokong dan bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Sekretariat Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC), JobCentre Brunei (JCB), dan industri dalam memudahkan akses kepada Adult Learning and Education (ALE), menyediakan dan menyokong penyedia latihan dari segi tempat dan kemudahan, dan menjadi titik tumpuan untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan pihak berkepentingan, peringkat kebangsaan dan antarabangsa, dalam menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.

    Dr Hajah Siti Haziah, Dr Chin Wei Keh, Profesor Seamus O Tuama dan para peserta bergambar ramai semasa majlis berkenaan.
    Profesor Seamus O Tuama menyampaikan pembentangannya semasa majlis berkenaan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, ALLIED bertujuan untuk mengumpulkan pihak berkepentingan utama dari sektor awam dan swasta yang terlibat bagi mempercepatkan dan memperkukuh pembangunan sumber manusia dan tenaga kerja di Negara Brunei Darussalam.

    Acara turut diisikan dengan pembentangan ucaptama bertajuk A University-Industry Lifelong Learning Partnership Model oleh penceramah utama Pengarah Centre for Adult Continuing Education (ACE) dan Pengerusi ASEM LLL Hub, Profesor Seamus O Tuama.

    Seterusnya acara menyaksikan pembentangan mengenai Manpower Demand and Potential Trainings dan perbincangan panel mengenai topik In-Demand Skills & Training Programmes for Industries: Now & Beyond yang dikendalikan oleh Pemangku Pengarah L3C, Awang Sumardi bin Haji Abdul Hamid.

    Perbincangan tersebut disertai oleh tujuh orang ahli panel iaitu Ketua Sekretariat MPEC, Dr Hajah Siti Haziah binti Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Pengurus Nilai Dalam Negara Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Hajah Rosita binti Haji Hassan selaku Ketua MISC-WG (Energy); Penolong Ketua Eksekutif, Bahagian Pembangunan Industri, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI), Awang Norshahrul Nizam bin Othman selaku Sekretariat MISC-WG (ICT); ahli MISC-WG (Hospitality and Tourism) dan Persatuan Hotel Brunei, Haji Yahya Amin Edwards @ Paul Edwards; Pengarah dan Fasilitator Best Integrated Engineer Solutions Supplies Sdn Bhd, Dr Haji Supry bin Haji Awang Ladi selaku wakil MISC-WG (Construction); Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersa-ma GoMamam, Awang Hadi Wahab; dan Profesor Seamus O Tuama.

    Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Awang Muhammad Burhanuddin bin Haji Nazamsah, selaku Ketua Pelapor bagi ALLIED ke-2.

    Antara objektif utama ALLIED adalah untuk mengukuhkan kerjasama dari segi pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pihak berkepentingan untuk mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat dan mewujudkan program latihan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda