Tuesday, January 7, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 1,000 ikrar menentang kanser

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Usaha terus dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya menangani dan mengawal situasi kanser di seluruh dunia termasuk di Negara Brunei Darussalam serta menghentikan dan mengurangkan kematian pramatang yang disebabkan oleh kanser.

    Oleh itu, sebagai mengesahkan semula ikrar untuk menentang kanser, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) telah mengadakan Hujung Minggu Hari Kanser Sedunia di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini. Acara menyaksikan penyertaan lebih 1,000 orang peserta untuk menandakan sambutan Hari Kanser Sedunia dan mengesahkan semula ikrar mereka untuk menentang kanser.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PJSC.

    Turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah PJSC; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Di majlis berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kanser Sedunia PJSC
    2023, Dr Lu Shir Kiong dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa Hari Kanser Sedunia diraikan pada setiap 4 Februari dengan tema ‘Merapatkan Jurang Penjagaan Kesihatan’ telah ditetapkan oleh UICC untuk digunakan selama tiga tahun dan 2023 merupakan tahun kedua PJSC meraikan Hari Kanser Sedunia dengan menggunakan tema berkenaan.

    Menteri-menteri kabinet dan orang ramai mengambil bahagian dalam acara riadah berjalan kaki sejauh 2.5 kilometer, Walk to Beat Cancer.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda dan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyertai aktiviti memanaskan badan.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika mencuba salah satu alat berbasikal di petak pameran Boeffi sambil disaksikan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew.

    Lebih 500 orang menyertai acara riadah berjalan kaki sejauh 2.5km, Walk to Beat Cancer.

    Tiga buah beca mendahului acara riadah berjalan kaki.

    Tema itu, jelasnya, memberikan tumpuan khas kepada cara mengatasi cabaran dan halangan yang dialami oleh para pesakit dalam mendapatkan rawatan dan penjagaan
    kanser seperti kurangnya pembiayaan, lokasi tempat tinggal yang tidak kondusif dan dis-kriminasi.

    Dr Lu menambah bahawa PJSC sentiasa memastikan mesej yang disampaikan setiap tahun adalah konsisten, relevan dan memberi kesan kepada pesakit serta rakyat di Negara Brunei Darussalam.

    Kempen tahun ini memberikan platform kepada pesakit kanser dan keluarga untuk bergaul dengan pihak berkepentingan dan orang ramai melalui acara perkumpulan, tambahnya.

    Di samping itu, acara itu memberikan maklumat lengkap mengenai kanser melalui perkongsian di petak pameran dan kempen di media sosial.

    Dr Lu menyatakan bahawa kempen-kempen yang diadakan sebelum ini telah memberikan impak yang positif kepada para pesakit, keluarga dan organisasi yang menyertai acara sambutan.

    PJSC, tambah beliau, mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai acara cabaran 21
    hari, selaras dengan kempen diadakan oleh UICC yang menyeru para peserta mengamalkan cara hidup sihat dengan pemakanan sihat, menjadi lebih aktif serta berkongsi maklumat mengenai kanser dan kesihatan selama 21 hari berturut-turut untuk memberikan impak yang nyata.

    “Saya menyeru kepada semua pihak untuk terus bersemangat dengan melibatkan diri dalam inisiatif mencegah kanser seperti menggalakkan pengesanan awal kanser, menyebarkan maklumat mengenai kanser dalam organisasi masing-masing atau kepada
    keluarga di samping memberikan bantuan kepada pesakit-pesakit kanser dalam kaedah yang termampu,” seru beliau.

    Majlis kemudian menyaksikan para peserta acara mengambil bahagian dalam aktiviti memanaskan badan sebelum Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyempurnakan pelepasan peserta-peserta Acara Amazing Race Hari Kanser
    Sedunia.

    Ia diikuti dengan pelepasan peserta-peserta berbasikal sejauh 30 kilometer (km), Bike to Beat Cancer, di mana pelepasan peserta disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.

    Majlis seterusnya menyaksikan lebih 500 orang peserta mengambil bahagian dalam acara riadah berjalan kaki sejauh 2.5km, Walk to Beat Cancer iaitu mengelilingi Bandar Seri Begawan melalui Taman Mahkota Jubli Emas.

    Acara itu didahului oleh tiga buah beca yang dihiasi khas diikuti oleh Yang Berhormat
    Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, kumpulan pengurusan kanan PJSC, pesakit dan bekas pesakit kanser, penaja, peserta dan tetamu khas.

    Sebagai sebahagian daripada acara sambutan berkenaan, para menteri dan jemputan juga berpeluang mengadakan lawatan ke pameran interaktif kanser di mana para pengunjung berpeluang mengetahui lebih dekat mengenai kanser dan penaja-penaja acara.

    Di samping itu, buat kali pertama di Brunei, pembentukan Reben Manusia terbesar di Brunei turut dilaksanakan dengan penyertaan pesakit dan bekas pesakit kanser, pihak yang berkepentingan, tetamu dan para peserta.

    Mereka telah membentuk reben berwarna ungu yang simbolik, menandakan semangat perjuangan menentang kanser.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda