Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Sejumlah $135,819 hasil daripada Hari Polo Amal 2022 telah diserahkan kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Izzah, hari ini.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan berangkat ke majlis itu.
Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar; Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin; dan perwakilan Cityneon Displays & Construction Sdn Bhd iaitu Pengarah Urusan, Dato Ting Jack Chai dan Jenny Lo.
Pada majlis tersebut, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan menerima replika cek daripada Dato Ting Jack Chai, kemudian menyerahkannya kepada Pengiran Datin Hajah Noraini bagi pihak Pusat Ehsan.