BEIJING, 1 OKT – Lebih 100,000 peserta terdiri daripada anggota tentera dan orang awam berhimpun di pusat bandar Beijing pada pagi ini untuk menyertai perarakan sempena meraikan ulang tahun ke-70 penubuhan China, lapor agensi berita Xinhua.
Presiden Xi Jinping merangkap setiausaha agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) dan pengerusi Suruhanjaya Pusat Ketenteraan akan menyampaikan ucapan pentingnya pada acara itu. Acara kali ini lebih berskala besar berbanding sambutan ulang tahun ke-50 dan ke-60 serta perarakan tentera V-Day pada 2015, menurut wakil ketua kumpulan utama perbarisan Cai Zhijun.
Perarakan itu dijangka mempamerkan pencapaian China dalam membina pertahanan dan angkatan bersenjatanya dalam tempoh 70 tahun lalu, selain mencerminkan hasil pembaharuan angkatan tentera rakyat baru-baru ini, menurut Cai. – Bernama
