Saturday, September 30, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    Lebih 12,000 kanak-kanak sudah terima vaksin

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Sebanyak 1,092 dos vaksin telah diberikan kepada kanak- kanak berumur lima hingga 11 tahun, kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 12,275 iaitu 28.6 peratus daripada kanak-kanak dalam kumpulan umur tersebut.

    “Sementara itu, liputan bagi penduduk negara ini yang telah menerima tiga dos vaksin adalah pada kadar 63.1 peratus,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Menurutnya, sebanyak 182 kes baharu jangkitan COVID telah dilaporkan hari ini, iaitu 162 kes hasil ujian ART dan 20 kes adalah hasil dari 877 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    “Oleh itu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di negara ini ialah 140,364 kes,” tambahnya.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato juga menjelaskan terdapat satu kes yang dikategorikan dalam kategori 5 iaitu mereka yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU).

    “Manakala satu kes sedang dalam kategori 4 yakni mereka yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi,” kata beliau.

    Sementara itu, sebanyak 494 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 139,187 kes.

    Jumlah kes aktif pula, menurut Yang Berhormat Dato, ialah sebanyak 959 kes iaitu 37 kes sedang dirawat di hospital manakala 922 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

    Di hujung kenyataannya, beliau mengucapkan Selamat Menyambut Nuzul Al-Quran.

    “Semoga berkat dari zikir, selawat dan bacaan Al-Quran yang kita amalkan akan menempatkan Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa di dalam perlindungan dan rahmat Allah SWT jua,” katanya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Singa baham tuan

    TOKYO, 29 SEPT – Seorang penjaga zoo di taman safari Jepun terbunuh selepas seekor singa dipercayai menyerangnya ketika dia cuba membawa haiwan itu masuk...