Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 1,400 terima kupon DANA

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Seramai 1,435 orang anak yatim yang berdaftar di Sekretariat Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA) akan menerima sumbangan kupon bernilai $70 setiap seorang dengan nilai keseluruhan kupon berjumlah $100,450.

    Jumlah berkenaan telah diserahkan pada Majlis Penyampaian Sumbangan DANA kepada Anak-anak Yatim di Seluruh Negara dalam bentuk kupon untuk pembelian peralatan dan keperluan persekolahan anak-anak yatim DANA bagi sesi persekolahan 2023 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan).

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA.

    Turut hadir menyerahkan sumbangan tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku ahli Lembaga Pemegang Amanah DANA.

    Kupon-kupon tersebut diserahkan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri kepada pegawai-pegawai daerah iaitu Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; wakil Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed; wakil Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Adi Asnawi bin Haji Awang Adanan; dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Ajmin bin Haji Meludin.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin ketika menyerahkan kupon DANA kepada Awang Misle bagi penerima Daerah Brunei dan Muara.
    Yang Berhormat Menteri di JPM menerima sumbangan hasil kutipan daripada aktiviti Fun Fair semasa acara Hari Bekarih Yayasan yang disampaikan oleh Hajah Nurul Amal Akmalina.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyerahkan sumbangan untuk anak-anak yatim di Daerah Belait kepada wakil Pemangku Pegawai Daerah Belait.

    Kupon-kupon tersebut seterusnya akan diserahkan kepada anak-anak yatim di seluruh negara melalui ketua kampung masing-masing.

    Di Daerah Brunei dan Muara, seramai 961 orang akan menerima kupon DANA berkenaan, manakala itu di Daerah Belait seramai 169, Daerah Tutong seramai 220 dan Daerah Temburong seramai 85 orang.

    Bermula tahun ini, anak-anak yatim yang berdaftar melalui Sistem Kebajikan Negara (SKN) akan menerima bantuan dari agensi-agensi yang lain, sama ada melalui Yayasan, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan agensi-agensi lain yang berkenaan.

    Pendekatan berkenaan adalah bagi mengelakkan duplikasi dalam menghulurkan sumbangan yang serupa agar pihak DANA dapat merancang dan menyusun aktiviti dan projek yang baharu dan efektif.

    Kupon-kupon berkenaan sah ditukarkan atau digunakan di 33 buah syarikat yang membekalkan barang-barang persekolahan telah dikenal pasti oleh DANA yang terletak di keempat-empat buah daerah.

    Di samping itu juga, kupon-kupon DANA boleh digunakan di sekolah sama ada di bawah Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama mahupun sekolah swasta.

    Daripada 33 buah syarikat tersebut juga, sebanyak 19 buah syarikat bersetuju untuk menyumbangkan 5 pe-ratus daripada hasil jualan melalui kupon tersebut kepada DANA.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada DANA daripada Jawatankuasa Kerja Projek Bantuan Sosioekonomi Sukarelawan Yayasan berjumlah $2,090 yang merupakan hasil kutipan daripada aktiviti Fun Fair semasa acara Hari Bekarih Yayasan.

    Hadir menyerahkan sumbangan berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Projek Bantuan Sosio-ekonomi Sukarelawan, Hajah Nurul Amal Akmalina binti Haji Talip.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan serta pegawai-pegawai kanan dari Yayasan, DST, Progresif Sdn Bhd dan Imagine Sdn Bhd.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda