Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan KBRI di Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Lebih 1,500 orang rakyat Indonesia yang berada di negara ini telah menghadiri majlis sembahyang Sunat Aidilfitri yang berlangsung di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini.
Acara yang bermula pada pukul 6:30 pagi di Kampung Kawasan Lingkungan Diplomatik, Jalan Kebangsaan itu telah dihadiri oleh Pemangku Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Kuasa Usaha Ad Interim (KUAI) KBRI Bandar Seri Begawan, Irwan Iding.
Sembahyang Sunat Aidilfitri dipimpin oleh Haji Minfadhlillah Hamid sementara pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Madya Dr Haji Abdurrahman Raden Aji Haqqi selaku khatib.
Majlis bertujuan untuk mengeratkan lagi jalinan silaturahim antara masyarakat Indonesia di negara ini, di samping menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam.
Ia merupakan kegiatan tahunan yang dianjurkan oleh KBRI di Negara Brunei Darussalam.




