Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Lebih 200 delegasi sertai program bina semula Gaza

    SUNGAI PETANI, 8 FEB – Lebih 200 delegasi dari 23 buah negara akan menyertai Program Antarabangsa Membangun Semula Gaza Selepas Perang yang bertujuan untuk membincangkan hala tuju pembangunan semula pascaperang di kawasan bergolak itu.

    Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata program tiga hari yang dijadual berlangsung bermula Sabtu ini (10 Februari) di Shah Alam, Selangor, akan disertai wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil dari kedutaan negara terlibat.

    Beliau berkata wakil yang telah mengesahkan penyertaan antaranya dari Rusia, United Kingdom, New Zealand, Pakistan, Indonesia, Lubnan, Singapura, Thailand, Kemboja serta negara Timur Tengah.

    “Persidangan ini akan mendengar maklumat terkini tentang apa yang berlaku di Gaza, Palestin dan apakah keutamaan bantuan yang perlu disalurkan pascaperang. Kesemua delegasi akan berpakat dan berbincang bagaimana untuk melaksana (pembangunan semula Gaza).

    “Selepas persidangan ini, kami akan tetapkan negara mana tumpu kepada kesihatan, prasarana dan pendidikan. Kami juga ingin selaraskan dengan pihak berkuasa Gaza dan bergabung dengan badan-badan antarabangsa yang lain,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Mohd Azmi berkata inisiatif tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    “Mereka sangat bersetuju untuk Malaysia jadi peneraju untuk rancang bagaimana hendak membantu Palestin selepas perang,” katanya.

    Beliau berkata, sebanyak AS$10 bilion (kira-kira RM47.6 bilion) diperlukan untuk pembangunan prasarana dan berharap rakyat di negara ini akan terus menghulurkan sumbangan bagi membantu semula pembangunan Gaza. – Bernama

    Mohd Azmi semasa sidang media pada 30 Disember berkaitan penganjuran Himpunan Sejuta Rakyat Untuk Palestin yang akan berlangsung pada 24 Februari 2024 di Seksyen U8 Shah Alam. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...