Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Seramai 281 orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang beragama Islam telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran yang diselajurkan dengan Doa Kesyukuran sempena tamat pengajian
yang berlangsung di Masjid UBD, hari ini.
Majlis tersebut merupakan majlis tahunan untuk penuntut-penuntut UBD yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Keagamaan UBD dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Persatuan Mahasiswa dan Mahasiswi UBD (PMUBD).
Di samping sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan para penuntut tahun akhir yang menamatkan pengajian pada tahun ini, majlis diadakan sebagai wahana UBD untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang celik Al-Quran serta bagi merealisasikan hasrat pembentukan Generasi Al-Quran dan Negara Zikir.
Selain itu, ia juga akan dapat melahirkan mahasiswa dan mahasiswi UBD yang berketerampilan dan mendukung usaha universiti tersebut mencapai matlamat ke arah kesempurnaan insan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis itu ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.
Turut hadir ialah dekan-dekan dan pengarah serta pegawai-pegawai UBD.
Majlis dimulakan dengan para graduan membaca Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Ad-Duha hingga Surah Al-Masad beramai-ramai dan diteruskan dengan bacaan takhtim dan Doa Khatam Al-Quran.
Acara disusuli dengan penyampaian bunga telur dan sijil kepada para pembimbing dan peserta khatam Al-Quran dengan diiringi laungan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh ahli-ahli majlis pelajar, kelab dikir, nasyid dan tausyeh UBD.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dibacakan oleh Imam Masjid UBD, Awang Mohammad bin Haji Bagol.

