WASHINGTON, 2 JAN – Perjalanan udara terus terjejas teruk di Amerika Syarikat (AS) kelmarin, dengan cuaca buruk di beberapa bahagian negara menambah kesan lonjakan tinggi dalam jangkitan COVID-19 yang didorong oleh varian Omicron.
AS mempunyai 2,723 penerbangan yang dibatalkan, lebih separuh daripada 4,698 dibatalkan di seluruh dunia kelmarin, menurut laman sesawang penjejakan FlightAware.
Selain itu, 5,993 penerbangan domestik telah ditangguhkan kelmarin, daripada jumlah keseluruhan 11.043 untuk hari itu.
Syarikat penerbangan AS yang paling teruk terjejas ialah SkyWest, yang terpaksa membatalkan 23 peratus daripada jadual penerbangannya, menurut laman sesawang itu.
Di AS, lapangan terbang di Chicago dilanda teruk kerana cuaca buruk, dengan ribut salji dijangka berlaku di kawasan itu pada petang kelmarin sehingga malam. Industri perjalanan udara global masih bergelora dengan varian Omicron yang sangat menular.
Ramai juruterbang, pramugari dan kakitangan lain tidak hadir bekerja selepas dijangkiti COVID-19, atau kerana mereka dikuarantin selepas berhubung dengan seseorang yang telah dijangkiti. – AFP
