LUANDA, 25 MAC – Sebanyak 28,701 kes tuberkulosis atau batuk kering direkodkan di Luanda, Angola sepanjang 2024, lapor Xinhua memetik agensi akhbar Angola kelmarin.
Dalam tempoh yang sama, seramai 1,040 pesakit meninggal dunia dengan kebanyakan kematian dikaitkan dengan diagnosis lewat dan pesakit hanya mendapatkan rawatan ketika berada dalam keadaan kritikal, kata Pengarah Kesihatan Wilayah Luanda, Fernando Varela.
Luanda kini mempunyai 50 pusat kesihatan yang merawat batuk kering, namun memandangkan jumlah penduduk yang besar, pihak berkuasa merancang untuk meningkatkan jumlah itu kepada sekurang-kurangnya 20 peratus.
“Ramai pesakit datang dalam keadaan kritikal dengan kerosakan paru-paru yang teruk dan kesukaran bernafas,” katanya, sambil menambah bahawa peluasan perkhidmatan kesihatan dapat meningkatkan kesedaran awam dan pendidikan mengenai penyakit itu. – Bernama
