Oleh Mu’min Karim
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Dengan tujuan memberikan pengalaman menyeronokkan kepada pelanggan serta rakan dan keluarga mereka, Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) telah menganjurkan acara yang berinspirasikan pencarian harta karun, VPower Walk-A-Hunt di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien semasa Program Bandarku Ceria pada pagi ini.
Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus melancarkan Walk-A-Hunt itu ialah Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil. Dengan lebih 20 cabaran yang terletak di sekitar Bandarku Ceria, para peserta cuba menyelesaikan sebanyak mungkin cabaran dalam masa yang ditetapkan. Cabaran termasuk tugas-tugas fizikal, mental dan digital, dengan peserta berdepan beberapa kejutan sepanjang perjalanan seperti cabaran faktor ketakutan.
Tampil juara acara itu ialah Pasukan Katon yang membawa pulang tiket penerbangan pergi dan balik ‘Pilih Destinasi ASEAN Awda!’, manakala tempat kedua dimenangi Pasukan Oscar Mike yang memenangi tiket penerbangan pergi dan balik ke Singapura.
Tempat ketiga pula disandang Pasukan Toyota Veloz yang membawa pulang tiket penerbangan pergi dan balik ke Kota Kinabalu sementara Pasukan The Sahmura dan Pasukan RZ jr masing-masing meraih tempat keempat dan kelima dengan membawa pulang 2,000 dan 1,000 Royal Skies Miles.
Acara turut menawarkan jualan pelbagai produk Shell dan BSM untuk peserta dan orang ramai.
Pasukan juara Walk-A-Hunt, terdiri daripada Amal Matahir, Nurin Jazlina dan Faiz Badri, semasa ditemu bual menyatakan rasa gembira dan tidak menyangka akan membawa pulang tiket penerbangan ke negara-negara ASEAN. Mereka menyatakan ini adalah penyertaan pertama mereka dalam acara yang dianjurkan oleh BSM.
“Kami tidak sangka akan menjadi juara. Kami hanya menyasarkan untuk memenangi hadiah Lucky Draw.
“Terima kasih kami ucapkan kepada BSM kerana menganjur acara ini!,” kata salah seorang ahli Pasukan Katon dengan perasaan penuh teruja.