Wednesday, October 16, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 400,000 kanak-kanak kehilangan tempat tinggal

    BEIRUT, 15 OKT – Lebih 400,000 kanak-kanak di Lubnan telah kehilangan tempat tinggal dalam tempoh tiga minggu kebelakangan, kata pegawai tertinggi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) kelmarin.

    UNICEF turut memberi amaran mengenai ‘generasi yang hilang’ di negara kecil itu yang berdepan dengan pelbagai krisis dan kini berada di tengah-tengah peperangan.

    Israel telah meningkatkan kempennya terhadap kumpulan pejuang Hizbullah yang berpangkalan di Lubnan, termasuk melancarkan serangan darat, selepas setahun berbalas tembakan semasa perangnya dengan pejuang Hamas di Gaza.

    Pertempuran di Lubnan memaksa 1.2 juta orang meninggalkan rumah mereka, kebanyakannya melarikan diri ke Beirut dan tempat lain di utara sejak tiga minggu lalu selepas ketegangan meningkat.

    Ted Chaiban, timbalan pengarah eksekutif UNICEF untuk tindakan kemanusiaan, telah melawat sekolah yang dijadikan tempat perlindungan untuk menempatkan keluarga yang dipindahkan.

    Orang awam berjalan melepasi khemah yang didirikan sebagai tempat perlindungan sementara oleh keluarga pelarian yang melarikan diri daripada serangan udara Israel di selatan dan Dahiyeh, di corniche Beirut, Lubnan pada 14 Oktober. – AP

    “Apa yang mengejutkan saya ialah peperangan ini sudah berlangsung selama tiga minggu dan begitu ramai kanak-kanak telah terjejas,” kata Chaiban kepada The Associated Press di Beirut.

    “Setakat ini, 1.2 juta kanak-kanak tercicir pelajaran. Sekolah awam sama ada tidak dapat diakses, rosak akibat peperangan atau digunakan sebagai tempat perlindungan.

    “Perkara terakhir yang diperlukan oleh negara ini, sebagai tambahan kepada segala-galanya yang dilalui, adalah risiko generasi yang hilang,” jelasnya.

    Walaupun beberapa sekolah swasta di Lubnan masih beroperasi, sistem sekolah awam terjejas teruk akibat peperangan, bersama-sama dengan orang yang paling terdedah di negara itu seperti pelarian Palestin dan Syria.

    “Apa yang saya bimbang ialah ratusan ribu kanak-kanak Lubnan, Syria, Palestin berisiko kehilangan pembelajaran mereka,” kata Chaiban. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda