Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Lebih 500 pelajar SM YSHHB sertai Jerayawara Celik Kewangan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Cyber Security Brunei (CSB), Bank Baiduri, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Bank Standard Chartered (StanChart) dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) telah mengadakan Jerayawara Celik Kewangan di Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) pada 31 Januari lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BDCB, di sini, lebih 500 orang pelajar sekolah berkenaan dari Tahun 7 hingga 11 telah menyertai aktiviti-aktiviti interaktif yang dianjurkan oleh institusi-institusi berkenaan semasa acara tersebut.

    Jerayawara itu dihasratkan untuk meningkatkan kefahaman mengenai tanggungjawab BDCB sebagai bank pusat negara serta melengkapkan para pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan pengurusan kewangan yang bersesuaian dengan umur mereka.

    Selain itu, PPDB turut mengongsi mengenai peranan mereka sebagai agensi penguatkuasaan yang berobjektif untuk menjaga undang-undang dan ketenteraman negara. CSB pula membarigakan mengenai keselamatan dalam talian, risiko-risiko yang berkaitan dengan teknologi digital serta menggalakkan para pelajar untuk menggunakan Internet terutamanya media sosial secara bertanggungjawab.

    BDCB juga mengadakan Program Menukar Duit Syiling sebagai sebahagian daripada jerayawara berkenaan yang memberikan peluang kepada para guru dan pelajar untuk menukar duit syiling mereka kepada mata wang polimer.

    Kenyataan turut menyatakan bahawa mana-mana organisasi atau institusi yang berminat untuk menjemput BDCB bagi mengadakan jerayawara atau acara-acara kesedaran, boleh menghubungi BDCB melalui e-mel, info@bdcb.gov.bn atau talian 8318388.

    Maklumat lanjut mengenai BDCB juga boleh didapatkan di laman sesawang, www.bdcb.gov.bn dan akaun Instagram @centralbank.brunei.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...