KUANTAN, 2 OKT – Lebih 700 pegawai dan anggota polis kini menjalani kuarantin selepas ‘diterbangkan’ ke Sabah bagi membantu operasi sepanjang pilihan raya negeri (PRN) itu, kata Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din.
Beliau berkata daripada jumlah itu, lebih 200 kakitangan ialah dari Semenanjung yang kini ditempatkan di sebuah hotel yang diwartakan sebagai pusat kuarantin oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) manakala bakinya dari Sarawak yang diarahkan menjalani kuarantin di sebuah pusat latihan di negeri tersebut.
“Kita mula menghantar bantuan tenaga ke Sabah secara berperingkat sebelum hari penamaan calon (12 Sept) dan jumlah pegawai dan anggota yang perlu dihantar semakin meningkat menjelang hari pengundian kerana lebih ramai anggota sedia ada di sana perlu dikuarantin.
“Mereka yang menjalani proses kuarantin kini sedang menunggu keputusan ujian saringan dan belum dibenarkan pulang ke rumah kerana kita tidak mahu mengambil risiko berlaku penularan disebabkan oleh anggota kita yang telah berkhidmat di Sabah,” katanya. – Bernama