Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lee Carsley mesti buktikan kemampuan bimbing England

    MANCHESTER, 6 SEPT – Era baharu buat pasukan bola sepak England bermula esok di bawah kendalian jurulatih sementara, Lee Carsley. Namun, belum diketahui berapa lama dia akan kekal mengalas jawatan itu.

    Carsley akan mengendalikan perlawanan sulung untuk pasukan kebangsaan menentang Ireland, ekoran Gareth Southgate meletak jawatan selepas Kejohanan Eropah.

    Dia telah dinaikkan pangkat daripada pasukan bawah-21 dan akan memulakan cabaran dalam saingan Liga Negara-negara UEFA menentang Ireland dan Finland.

    Tetapi dia mungkin kekal dalam jawatannya lebih lama sekiranya proses pencarian bagi pengganti Southgate dilanjutkan hingga selepas rehat antarabangsa pada Oktober.

    Sepanjang tempoh itu, Carsley berpeluang membuktikan dirinya layak untuk dipertimbangkan sebagai pengendali tetap.

    “Dia seorang pengurus hebat dari segi taktikal dan pengurusan pemain. Saya rasa peranan ini sangat sesuai dengannya,” kata Morgan Gibbs-White, pemain tengah Nottingham Forest yang dipanggil menyertai skuad pertama Carsley. Gibbs-White adalah antara anggota skuad B-21 England yang memenangi Kejuaraan Eropah tahun lalu di bawah kendalian Carsley.

    Southgate mengakhiri tempoh lapan tahun sebagai pengurus England selepas tewas kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir Euro 2024. Sepanjang tugasnya, dia berjaya membawa England ke dua final Euro berturut-turut serta separuh akhir Piala Dunia 2018, namun gagal menamatkan kemarau kejuaraan sejak kemenangan Piala Dunia 1966. – AP

    Pengurus sementara England, Lee Carsley (tengah) semasa memberi isyarat semasa sesi latihan pasukan bola sepak kebangsaan England pada 4 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda