PHNOM PENH, 24 Feb – Sebuah mahkamah Kemboja hari ini menjatuhi hukuman penjara dua tahun ke atas lelaki berusia 27 tahun kerana penghantarannya di Facebook yang mengancam Perdana Menteri Hun Sen.
Ven Sopheap, penduduk wilayah timur Prey Veng, mengakui ketika perbicaraan minggu lalu telah menghantar ancaman ke atas Hun Sen – perdana menteri autoritarian yang telah memimpin Kemboja lebih tiga dekad.
Dia dilaporkan menulis ‘Hun Sen, hari ini adalah hari kematian kamu,’ dan ‘Pemancungan kepala Yuons ( istilah rendah bagi rakyat Vietnam) adalah tugas semua kanak-kanak Khmer” di dalam akaunnya di Facebook, yang membawa kepada penangkapannya pada Oktober lalu.
Hari ini mahkamah Phnom Penh telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas lelaki itu kerana mengeluarkan ancaman mati dan menghasut diskriminasi, menurut hakim Ly Sokleng.
![Ven Sopheap (tengah) ketika dikawal oleh pengawal penjara ketika menuju ke mahkamah di Phnom Penh, kelmarin. – AFP](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/B-P14_250217.jpg)
Kumpulan hak asasi kemanusiaan mengkritik keputusan itu sebagai penindasan ke atas kebebasan bersuara di Kemboja ketika Hun Sen bertindak ke atas para pengkritik sebelum pilihan raya 2018.
“Penghantaran ke media sosial yang sambil lewa atau membuat ulasan, tanpa sebarang niat sebenar untuk mengikut, seharusnya ditangani dengan pendekatan yang masuk akal dan dengan tolak ansur,” Chak Sopheap, pengarah eksekutif Pusat Hak Asasi Kemanusiaan Kemboja, memberitahu AFP. – AFP