Thursday, October 3, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki Bangladesh didakwa heret kucing sambil menaiki motosikal

    SHAH ALAM, 2 OKT – Seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mendatangkan kesakitan ke atas seekor kucing.

    Monotosh, 41, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa secara bersama-sama seorang lagi individu dengan kejam mengheret seekor kucing dewasa yang diikat dengan alat penjerut di atas jalan raya sambil menaiki motosikal sehingga menyebabkan kesakitan terhadap haiwan itu.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sekitar kawasan perumahan Seksyen 31 pada 7 September lepas mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaaan.

    Jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali.

    Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd Sharif Sabran mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selain Monotosh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

    Peguam K Ragia Sri Devi yang mewakili OKS memohon jaminan minimum mengambil kira anak guamnya perlu menyara keluar-ganya di negara asal dengan gaji RM1,500 selain tidak mempunyai keluarga yang terdekat di Malaysia untuk membantu mengumpul wang jaminan yang tinggi.

    “Lagipun pasport juga telah diminta untuk diserahkan kepada mahkamah dan anak guam saya tidak lari daripada mana-mana kes dan dia telah bekerjasama dari hari pertama, saya harap mahkamah boleh mempertimbangkan untuk wang jaminan dikurangkan kepada jumlah yang bersesuaian,” katanya. – Bernama

    Seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 2 Oktober atas pertuduhan mendatangkan kesakitan ke atas seekor kucing. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda