COUERON, 24 NOV – Ketika kebanyakan jiran memilih untuk membela kucing dan anjing, Philippe Gillet, 72, menjadikan seekor buaya sebagai ‘rakan’ yang menemani rutinnya menonton televisyen di ruang tamu.
Banglo Gillet di barat Perancis juga menjadi rumah kepada pelbagai haiwan eksotik dan berbisa, termasuk ular viper Gabon, ular senduk, ular sawa, kura-kura alligator yang mampu menggigit jari, labah-labah tarantula, serta kala jengking.
Setiap kali tetamu melangkah masuk ke ruang tamu, buaya sepanjang dua meter bernama Gator yang berehat di bawah meja kopi sering menggeram.
“Tenang,” kata Gillet, sebelum reptilia itu kembali tidur berhampiran seekor lagi buaya bernama Alli.
“Ketika ribut, Gator tidur di katil saya. Orang selalu fikir saya gila,” ujar Gillet.
Video kehidupan unik bersama koleksi haiwan peliharaannya yang berjumlah 400 ekor telah menjadikan Gillet terkenal di media sosial.
Kehidupan hariannya bukan sahaja menarik perhatian ramai, tetapi juga mempromosikan badan amal Inf’Faune, yang diasaskannya untuk mendidik masyarakat tentang haiwan berbisa dan eksotik.
Gillet pernah tinggal di Afrika selama 20 tahun sebagai pemandu pemburu. Ketika di sana, beliau sering menangkap buaya untuk memastikan keselamatan penduduk kampung.
Sekembalinya ke Perancis, beliau menjadi seorang herpetologi, iaitu pakar dalam reptilia dan amfibia.
Kini, beliau menetap di Coueron, berhampiran Nantes, bersama pasangannya dan anak-anak mereka serta haiwan peliharaannya.
Di halaman rumahnya terdapat seekor buaya Nil bernama Nilo, yang digambarkan Gillet sebagai ‘salah satu spesies paling berbahaya’.
Ayam-ayam pula bebas berkeliaran mencari makanan di kawasan tersebut. – AFP