Monday, March 4, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Lelaki bunuh ibu bapa direman seminggu

    KUALA LUMPUR, 10 DIS – Lelaki yang dipercayai membunuh ibu dan bapanya dalam pergaduhan di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala, di Kuala Lumpur, semalam, direman selama tujuh hari bermula hari ini.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata lelaki berusia 42 tahun itu yang ditahan kira-kira 10:30 malam semalam di Terowong Penchala Lebuhraya Sprint menghala ke bandar raya ini telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan hasil saringan air kencing mendapati dia positif tiga jenis dadah.

    “Suspek ditahan di Lokap IPD Brickfields untuk siasatan lanjut. Permohonan reman terhadapnya dijalankan hari ini dan dibenarkan oleh Majistret Kuala Lumpur (direman) hingga Sabtu depan,” katanya pada sidang media di IPD berkenaan hari ini.

    Beliau berkata suami isteri berkenaan ditemukan terbaring berlumuran darah di lantai rumah dipercayai akibat ditikam berkali-kali.

    “Polis menemukan mata pisau, hulu pisau, batang kayu, serpihan kayu, satu helmet, meja kayu bulat dan sepasang kasut berwarna hitam dipercayai milik suspek di lokasi kejadian. 

    “Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa (si mati) berumur 72 dan 82 tahun. Si bapa merupakan pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya manakala ibu ialah suri rumah,” katanya yang enggan mendedahkan nama mangsa bagi menjaga sensitiviti keluarga terbabit.

    Allaudeen berkata semakan turut mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah berkaitan dadah sejak Januari 2016 hingga November 2023 dan terkini, ditahan pada 30 November di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada 1 Disember dan diberikan jaminan sebanyak RM2,000.

    “Kedua-dua mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat yang akan dilakukan pada hari ini,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Sementara itu, jeritan wanita meminta tolong membawa kepada penemuan mayat pasangan suami isteri di rumah berkenaan.

    Seorang jiran lelaki yang enggan dikenali berkata jeritan berkenaan didengari kira-kira 7 malam.

    “… saya dengar kira-kira dalam waktu maghrib, selepas itu senyap dan tiada lagi,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    Jiran berkenaan berkata dia tidak menyangka anak lelaki mangsa sanggup melakukan perkara sedemikian kerana beberapa hari sebelum ini dia dilihat sering membantu mengemas dan menyapu halaman rumah.

    “Malah pada waktu pagi saya ada nampak dia bantu bapanya cuci halaman rumah dan pernah juga saya nampak dia makan di kedai,” katanya. – Bernama

    Ketua Polis Kuala Lumpur bercakap pada sidang media berhubung kes anak kandung bunuh ibu bapa di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Filipina gesa jiran berdiri bersama lebih teguh di Laut China Selatan

    MELBOURNE, 4 MAC - Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Enrique Manalo menggesa jiran serantau hari ini supaya berdiri bersama lebih teguh dalam menegakkan kedaulatan...