Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki dihukum mati guna gas nitrogen

    ATMORE, 22 NOV – Seorang lelaki dari Alabama yang disabit bersalah membunuh seorang pelancong pada 1994 dihukum mati menggunakan gas nitrogen di Penjara William C Holman, selatan Alabama, semalam.
     
    Carey Dale Grayson, 50, menjadi individu ketiga di Amerika Syarikat yang menjalani hukuman mati menggunakan kaedah itu. 
     
    Dia adalah salah seorang daripada empat remaja yang disabitkan kesalahan membunuh Vickie DeBlieux, 37, ketika wanita itu menumpang kenderaan dalam perjalanan ke rumah ibunya di Louisiana. Mangsa dipukul, diserang dan dicampak dari tebing.
     
    Kaedah gas nitrogen, yang diperkenalkan Alabama awal tahun ini, melibatkan penggunaan topeng gas untuk menggantikan udara dengan gas nitrogen tulen, menyebabkan kematian akibat kekurangan oksigen.
     
    Pesuruhjaya Jabatan Pemulihan Alabama, John Q Hamm, memaklumkan gas nitrogen dialirkan selama 15 minit. Elektrokardiogram menunjukkan Grayson tidak lagi mempunyai degupan jantung kira-kira 10 minit selepas aliran gas bermula.
     
    “Seperti dua kes sebelumnya, Grayson dilihat menggeletar sesekali sebelum menarik nafas secara mendalam secara berkala,” kata Hamm.
     
    Sementara itu, anak perempuan mangsa memberitahu pemberita selepas hukuman itu bahawa ibunya telah kehilangan masa depan, namun mengkritik hukuman mati Grayson dengan menyatakan bahawa ‘membunuh banduan atas nama keadilan’ adalah tidak wajar.
     
    Tirai bilik pelaksanaan hukuman dibuka sejurus selepas jam 6 petang. Grayson, yang diikat pada pengusung dengan topeng gas berbingkai biru, mengeluarkan kata-kata kesat ketika warden bertanya mengenai kata-kata terakhirnya. 
     
    Pihak penjara mematikan mikrofon selepas itu. Grayson dilihat bercakap ke arah bilik saksi di mana pegawai kerajaan hadir, tetapi ucapannya tidak dapat didengar. Ketika proses hukuman dimulakan, dia sempat mengangkat kedua-dua jari tengah. – AP
     
    Beberapa orang membantah pelaksanaan hukuman mati menggunakan gas nitrogen di luar Capitol, Montgomery, Alabama pada 18 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda