Monday, December 16, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki dipenjara 100 tahun terbabit dalam kejadian tembakan

    LAS VEGAS, 15 DIS – Seorang hakim di Las Vegas menjatuhkan hukuman penjara 100 tahun ke atas seorang lelaki Texas atas peranannya dalam kejadian tembakan di dua buah negeri pada Hari Kesyukuran 2020 termasuk pembunuhan seorang lelaki di Nevada dan kejadian berbalas tembakan dengan pihak berkuasa di Arizona.

    Christopher McDonnell, 32, mengaku bersalah Oktober lalu atas lebih 20 jenayah termasuk pembunuhan, cubaan membunuh, konspirasi pembunuhan dan tuduhan memiliki senjata api secara haram.

    Hakim Daerah Clark County, Tierra Jones, menjatuhkan hukuman penjara minimum 100 tahun ke atasnya Jumaat lalu, lapor KLAS-TV. Jika dia masih hidup, dia layak mendapat parol pada tahun 2120 dengan kredit untuk masa yang diberikan.

    McDonnell dari Tyler, Texas, abangnya Shawn McDonnell, 34, dan isteri Shawn McDonnell ketika itu, Kayleigh Lewis, 29, pada asalnya menghadapi puluhan pertuduhan.

    Polis dan pendakwa raya berkata ketiga-tiga mereka memulakan serangan selama 11 jam pada 26 November 2020 termasuk tembakan rambang yang menyebabkan Kevin Mendiola Jr., 22, terbunuh di sebuah kedai serbaneka di Henderson, dekat Las Vegas, dan tembakan semasa menggunakan kenderaan pula telah mencederakan beberapa orang lain. Serangan diteruskan di Arizona membabitkan pegawai polis. – AP

    Gambar Pexels
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda